Selasa, 28 Jun 2016

Rombakan di JPM, Azalina ambil alih portfolio undang-undang?



Spekulasi bertiup kencang bahawa rombakan seterusnya ke atas menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri akan menyaksikan Datuk Seri Azalina Othman Said mengambil alih portfolio undang-undang daripada Nancy Shukri.

Sumber yang rapat dengan perkara itu mengesahkan bahawa desas desus mengenainya memang menjadi perbualan.

Walau bagaimanapun, Azalina sendiri berkata beliau dalam gelap berhubung spekulasi itu.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku dalam tempoh 10 minit akan datang dalam hidup saya, jadi bagaimana saya mahu tahu tentang perkara ini?

"Apa pun, ia adalah hak perdana menteri untuk membuat sebarang rombakan," kata Ahli Parlimen Pengerang itu kepada Malaysiakini.

Malaysiakini juga sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada Nancy, yang jawatannya dikatakan akan diubah dalam rombakan tidak lama lagi itu.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merombak kabinetnya untuk kali ketiga dan berkata perubahan dalam portfolio bagi menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri akan menyusul tidak lama lagi.

Mengikuti rombakan semalam, sembilan menteri di Jabatan Perdana Menteri, termasuk Azalina dan Nancy.

Menteri lain adalah Datuk Abdul Rahman Dahlan, Datuk Wee Ka Siong, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Paul Low, Datuk Joseph Entulu Anak Belaun, Tan Sri Joseph Kurup, dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Azalina adalah seorang peguam, dan dalam kapasitinya sebagai menteri bertanggungjawap menjaga Parlimen. Beliau sering-kali menggunakan hujah-hujah undang-undang ketika menjalankan tugasnya.

Ini termasuk menggunakan pembelaan subjudis apabila menolak soalan pembangkang mengenai 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang berada di akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Azalina menjadi menteri buat kali ketiga semasa rombakan kabinet kedua Najib tahun lalu.

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai menteri pelancongan dari 2008 hingga 2009, dan sebagai menteri belia dan sukan pada 2004-2008 semasa Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara itu, kedua-dua penganalisis dari Sarawak, Jeniri Amir dan Awang Azman Awang Pawi, berkata terdapat kemungkinan bahawa bagi Najib melantik seorang anak Sarawak sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ini berikutan rasa tidak puas hati pemimpin BN Sarawak berhubung keputusan Najib untuk tidak melantik Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi sebagai menteri penuh bagi menggantikan Datuk Seri Douglas Uggah Embas yang mengosongkan jawatannya untuk bertanding pada pilihan raya negeri.

"Saya rasa perdana menteri akan melantik sekurang-kurangnya seorang menteri Dayak,” kata Awang Azman dari Universiti Malaya kepada Malaysiakini.

Jeniri, bagaimanapun, lebih cenderung untuk mempercayai bahawa rombakan seterusnya akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kedudukan Najib, daripada mengambil kira memuaskan hati pemimpin Sarawak.

Beliau juga percaya bahawa pertukaran Nancy (atas, kanan) ke portfolio lain tidak akan mengecewakan BN Sarawak, jika portfolio yang sesuai diberikan kepada Ahli Parlimen Batang Sadong itu.

Tiada ulasan: