Khamis, 30 Jun 2016

Lelaki maut ditikam isteri selepas bergaduh


bunuh tikam
Gambar Hiasan


MARAN - Seorang lelaki orang asli maut ditikam isteri selepas bergaduh di rumahnya di Kampung Paya Besar, Kertau, Chenor, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa, Awang A/L Muhamad, 42, dari Kampung Paya Besar, Kertau, Chenor meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Maran.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, siasatan awal mendapati,  anak tiri mangsa berusia 30 terdengar mangsa dan suspek bertengkar.

Menurutnya, anak tiri, mangsa kemudiannya bergegas ke ruang tamu dan sempat melihat ibu tirinya menikam mangsa.

"Anak tiri mangsa sempat melihat suspek iaitu ibu tirinya berusia 33 tahun menikam perut mangsa sebanyak dua kali di dalam bilik tidur," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu terus membawa adik lelakinya berusia 11 bulan ke rumah saudara berdekatan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, sepasukan anggota polis yang tiba di tempat kejadian sejurus mendapat maklumat menahan suspek sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat dijalankan.

Mat Rizal berkata, polis menahan reman suspek selama seminggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Tiada ulasan: