Khamis, 30 Jun 2016

Laporan 'post mortem' kekalahan PAS di dua PRK siap Ogos

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS akan menyerahkan laporan 'post mortem' mengenai kekalahan parti itu dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan diserahkan kepada kepimpinan Pusat selewat-lewatnya akhir Ogos depan.
 
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata laporan berkenaan akan diserahkan pengerusinya Datuk Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS kepada peringkat pusat.
 
Jelasnya, Mohd Amar diberikan tanggungjawab memimpin Jawatankuasa 'post mortem' PAS bagi mengenal pasti punca-punca kekalahan PAS di kedua-dua kawasan PRK terbabit.
 
"Berdasar kepada pemerhatian awal PAS tidak kurang sokongan walaupun gagal memenangi PRK berkenaan. 
 
"Ini kerana undi teras PAS masih kekal. Sebaliknya penyokong PKR dan DAP berpaling arah di mana ada yang menyokong calon BN atau PAN," jelas Takiyuddin memetik laporan HarakahDaily hari ini.
 
Jawatankuasa berkenaan juga akan turut menilai pengendalian perjalanan pilihan raya dan jentera parti itu secara terperinci.
 
Pada PRK yang diadakan pada 18 Jun lalu, PAS gagal mencabar kekuatan Umno-Barisan Nasional (BN) yang berjaya mempertahankan kubu kuat mereka.
 
Di Kuala Kangsar BN menerusi Datin Mastura Mohd Yazid memperoleh majoriti 6,969 undi mengatasi calon PAS Dr. Najihatussalehah Ahmad dan Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Ahmad Tarmizi Ramli.
 
Situasi sama di Sungai Besar apabila Budiman Mohd Zohdi yang mewakili BN mendapat majoriti 9,191 undi menewaskan calon Amanah Azhar Abdul Shukur dan Dr Rani Osman yang mewakili PAS.
 
 

Tiada ulasan: