Selasa, 28 Jun 2016

Kenapa Husni Hanadzlah keluar kabinet?

MALAYSIAKINI


Rombakan kabinet yang diumumkan perdana menteri semalam disifatkan “sangat mengejutkan” apabila menteri kewangan kedua Datuk Seri Husni Hanadzlah tidak mahu lagi menyertai kabinet Datuk Seri Najib Razak.

Anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata ia menimbulkan teka-teki kerana dibuat ketika negara dilanda krisis kewangan dan kontroversi 1MDB yang belum selesai.

“Saya berkeyakinan kedudukan mereka dalam kabinet mempunyai banyak pengetahuan yang tersembunyi berkaitan perkara penting yang membabitkan Najib dalam skandal besar negara
sehingga mereka tidak lagi bersedia bersekongkol dengan kejahatan Najib.

“Perletakan jawatan Husni menimbul dan meninggalkan seribu satu persoalan.

"Yang pasti bagi saya ini adalah protes senyap dan undi tidak percaya terhadap Najib,” katanya.

Dalam rombakan kabinet semalam, Najib mengumumkan 'kenaikan pangkat' Datuk Johari Abdul Ghani daripada timbalan menteri kewangan kepada Menteri Kewangan Kedua.

Johari menggantikan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang dikatakan meminta untuk berundur atas sebab peribadi.

Dalam kenyataan hari ini, Mahfuz juga berkata berharap Husni “tampil untuk berkata benar untuk negara dan rakyat”.

“Tidak cukup sekadar melepaskan semua jawatan tanpa terus berjuang. Demi Malaysia, Husni perlu bersama rakyat Selamatkan Malaysia,” kata bekas naib presiden PAS itu.

Letak jawatan dalam Umno

Najib semalam berkata beliau tidak memasukkan Husni dalam kabinetnya bagi menghormati permintaannya yang ingin bersara.

Kenyataan susulan daripada bekas setiausaha politiknya menyebut Husni turut meletakkan jawatan sebagai bendahari Umno, timbalan pengerusi Umno Perak serta ketua Umno dan BN bahagian Tambun.

Husni dilantik sebagai menteri kewangan kedua sejak Najib menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri pada 2009.

Semasa memegang jawatan itu, beliau dilantik sebagai jurucakap 1MDB di tengah-tengah kontroversi itu pada 2015.

Beliau pernah dilaporkan berkata, laporan interim peguam negara menunjukkan syarikat pelaburan negara itu tidak melakukan sebarang salah laku.

Beliau juga menyebut AS$1 bilion simpanan di Kepulauan Cayman dalam bentuk “unit”, bukan tunai.

Husni turut menggesa pemotongan peruntukan kepada kementerian-kementerian dengan berkata indeks prestasi utama (KPI) diukur berdasarkan simpanan mereka.

Tiada ulasan: