Khamis, 30 Jun 2016

KEADILAN kesal Guan Eng ditangkap bagai penjenayah berbahaya

SUARA KEADILAN 

 

KEADILAN kesal dengan tindakan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah membuat penangkapan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng, petang tadi (semalam) sewaktu beliau mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
YAB Lim Guan Eng sebelum ini telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM. Kami berpendapat tangkapan petang tadi adalah tidak perlu, malah cara ia dibuat dengan kehadiran anggota yang begitu ramai seperti YAB Lim Guan Eng itu seorang penjenayah yang amat berbahaya.
gUAN eNG 
Penangkapan dan pendakwaan YAB Lim Guan Eng mengukuhkan persepsi rakyat bahawa wujud satu usaha sistematik dan terancang untuk menakut-nakutkan dan mengganggu pimpinan politik tertinggi pembangkang sebelum tibanya PRU14. 
Malah, umum belum lagi melihat sebarang tindakan diambil SPRM berkaitan skandal-skandal kewangan besar seperti 1MDB dan “derma” RM2.6 bilion. Apakah hanya pihak pembangkang yang patut menerima layanan seperti YAB Lim Guan Eng, manakala mereka di pihak kerajaan pula menikmati kekebalan di sisi undang-undang?
Oleh itu, KEADILAN menggesa pihak SPRM melengkapkan siasatan dan membawa ke muka pengadilan mereka yang terlibat dalam skandal-skandal kewangan tersebut agar terbukti tahap profesionalisme SPRM dan tidak timbul persepsi di khalayak umum bahawa berlakunya pendakwaan terpilih dan terancang. 
Inilah peluang terbaik bagi Tan Sri Dr Abu Kassim, Ketua Pesuruhjaya SPRM, meninggalkan legasi buat SPRM dan membuktikan SPRM bukannya alat politik pemerintah sebelum beliau bersara.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang / Presiden KEADILAN

Tiada ulasan: