Isnin, 30 Mei 2016

Pak Lah gesa BN selesai ‘hudud’ secara konsensus

 
Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun enggan mengulas panjang berhubung isu tersebut


badawi-hudud


KUALA LUMPUR: Kembali ke meja rundingan dan cari penyelesaian secara konsensus, pesan bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada pucuk pimpinan BN.

“Ya ia sepatutnya begitu (penyelesaian secara konsensus),” katanya selepas program di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas panjang berhubung isu tersebut ketika ditemui pemberita tadi.

Pada 26 Mei lalu, usul Rang Undang-Undang Persendirian yang dibawa Ahli Parlimen Marang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi menambah hukuman jenayah syariah dibenarkan dibentang di dalam Dewan Rakyat.

Pengkritik usul Hadi itu mendakwa sekiranya pindaan Akta 355 itu diluluskan ia akan membuka laluan kepada perlaksanaan hudud di Kelantan.

Penyegeraan pembentangan usul Hadi itu mengundang kecaman daripada MCA, MIC dan Gerakan.

Malah beberapa menteri seperti Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong dan Datuk Seri Wee Ka Siong mengancam untuk meletakkan jawatan jika RUU tersebut diluluskan.

Dalam pada itu, Pak Lah berkemungkinan turun berkempen membantu BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Ya saya akan bantu kempen. InsyaAllah, tengoklah,” katanya yang juga merupakan Pengerusi IKIM.
Katanya lagi, BN boleh mengekalkan kemenangan di kedua-dua kawasan Parlimen tersebut sekiranya usaha digandakan.

“Anda perlu bekerja keras. InsyaAllah kita boleh menang,” katanya.

Setakat ini, PAS dan BN telah mengemukakan calon bagi kedua-dua kawasan parlimen tersebut, dan Pakatan Harapan dijangka membuat pengumuman Rabu ini.

Tiada ulasan: