Selasa, 31 Mei 2016

Malaysia jatuh lima tangga - negara paling berdaya saing

MALAYSIAKINI


Malaysia jatuh lima kedudukan dalam negara paling kompetitif di dunia mengikut senarai Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2016 (WCY) yang diterbitkan oleh pusat daya saing dunia, Institute for Management Development (IMD) yang berpangkalan di Lausanne, Switzerland.

Malaysia kini berada di tempat ke-19 berbanding tempat ke-14 pada tahun lalu.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu kenyataan, kemersotan itu adalah berikutan kejatuhan harga komoditi, dolar yang kukuh dan penyusutan lembaran imbangan dalam sektor awam dan swasta.

Ranking itu dinilai bagi 61 negara tahun ini berbanding 60 tahun lalu.


Mustapa berkata Malaysia mendahului Finland (tempat ke-20), Israel (ke-21), Belgium (ke-22), Iceland (ke-23), Austria (ke-24), tanah besar China (ke-25), Jepun (ke-26), Republik Czech (ke-27), Thailand (ke-28) dan Korea Selatan (ke-29).

Dalam ringkasannya, WCY menyenaraikan Malaysia di tangga pertama dalam kalangan 31 negara dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita kurang daripada US$20,000, mengekalkan kedudukan pertamanya selama tiga tahun berturut-turut.

"Dalam kalangan 28 negara dengan penduduk melebihi 20 juta, Malaysia berada di kedudukan ketujuh. Dalam Asean, Malaysia kekal di kedudukan kedua dan di kedudukan keenam dalam kalangan 14 negara di rantau Asia Pasifik," kata menteri itu.

Beliau berkata berikutan ketidaktentuan ekonomi dunia, Malaysia perlu meningkatkan usaha.

Mustapa berkata ranking berkenaan jelas menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi semasa bukan bermakna jaminan daya saing di masa depan, dan corak yang sama yang dapat dilihat dalam kalangan semua negara dalam 20 ekonomi terbaik iaitu peraturan mesra perniagaan serta infrastruktur fizikal.

Malaysia pada kedudukan ke-14 dalam Kecekapan Perniagaan dan antara 10 terbaik dalam Pasaran Tenaga Kerja pada tempat keenam (2015:keempat) dan amalan Pengurusan pada kedudukan kesembilan (2015:keenam), manakala meningkat tiga kedudukan dalam Produktiviti dan Kecekapan ke tempat ke-21 (2015:ke-24).

Kedudukan negara susut dalam Kewangan dan Sikap dan Nilai, masing-masing sebanyak lima dan tiga kedudukan, kepada kedudukan ke-20 dan ke-11.

Mustapa berkata, pertumbuhan ekonomi yang kukuh penting untuk memastikan Malaysia mencapai aspirasi untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

"Dalam konteks ini, inisiatif kita di bawah Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi akan teruskan seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-11.

"Strategi pembangunan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-11menggariskan produktiviti sebagai pengubah untuk mencapai pertumbuhan yang mampan dan inklusif.

"Kita juga memberi tumpuan kepada usaha mengubah industri pembuatan selaras dengan perubahan pesat hasil daripada apa yang dikatakan oleh sesetengah orang sebagai 'Revolusi Perindustrian Keempat'," katanya.

WCY 2016 berdasarkan kepada analisis lebih daripada 340 kriteria yang diperoleh daripada empat faktor: Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan, Kecekapan Perniagaan dan Infrastruktur.

Malaysia turun lima anak tangga dalam Prestasi Ekonomi ke tempat ke-11daripada tempat keenam pada 2015.

Penurunan dalam sub-faktor Ekonomi Dalam Negeri kepada ke-22 (2015: ke-15), Perdagangan Antarabangsa kepada ke-21 (2015: ke-11) dan Pelaburan Antarabangsa kepada ke-16 (2015: kelapan) menyumbang kepada penurunan keseluruhan faktor Prestasi Ekonomi, manakala negara mengekalkan kedudukan 10 teratas dalam dua sub-faktor iaitu Pekerjaan di tempat kesembilan (2015: ketujuh) dan Harga di kedudukan ketujuh (2015: ketiga).

Tiada ulasan: