Selasa, 31 Mei 2016

Laporan audit 1MDB dalam blog Rafizi disahkan sama

SINAR HARIAN

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli


KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa Tan Sri Ambrin Buang mengesahkan, laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dimuat naik dalam blog Anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli, adalah sama dengan salinan laporan akhir 1MDB yang dimiliki Ketua Audit Negara itu.

Timbalan Pengarah Audit di Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad@Mat, 49, berkata pengesahan itu dibuat olehnya bersama Ambrin pada 4 April lepas iaitu selepas beliau melihat ada perkongsian paparan sebahagian laporan itu dalam laman Facebook miliknya pada 28 Mac lepas.

"Sebaik sahaja melihat perkongsian di 'news feed' Facebook milik saya, saya membuka link URL blog yang tertera nama Rafizi Ramli, dan saya mengesyaki 'posting' dalam blog tersebut adalah berkaitan dengan laporan akhir 1MDB.

"Setelah membaca keseluruhan 'posting' dalam blog itu, saya dapati isu yang dibangkitkan dan dipaparkan adalah mengenai sebahagian Laporan Akhir Pengauditan 1MDB termasuk muka surat 98 yang turut dimuat naik dalam blog tersebut," katanya pada perbicaraan hari pertama kes Mohd Rafizi yang didakwa memiliki dan mendedahkan dokumen rasmi berhubung laporan audit 1MDB.

Saksi pendakwaan pertama itu berkata dalam blog Mohd Rafizi itu juga turut dibangkitkan isu hubungan 1MDB dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan anak syarikat lembaga itu, iaitu Perbadanan Perwira Hartanah Malaysia (PPHM).

Menurut Nor Salwani, sehingga kini, status laporan akhir 1MDB itu diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, serta kandungan laporan akhir itu hanya diketahui oleh pasukan pengauditan dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar, apakah  tindakannya selepas pengesahan dibuat olehnya dan Ambrin, Nor Salwani berkata satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Persint 7, Putrajaya, pada 5 April lepas, agar siasatan selanjutnya dijalankan terhadap kebocoran maklumat laporan itu.

Mohd Rafizi, 39, yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR didakwa memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Rafizi didakwa mendedahkan kandungan laporan tersebut dalam sidang media di tempat dan pada masa sama, 28 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Ketika pemeriksaan balas peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Mohd Rafizi, Nor Salwani bersetuju bahawa isu LTAT yang dinyatakan dalam blog anak guamnya itu adalah isu berkaitan kepentingan awam.
"Ya, saya bersetuju. Namun isu tersebut masih diklasifikasikan sebagai rahsia dan tidak boleh diulas lanjut," kata Nor Salwani.

Perbicaraan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan bersambung 17 Jun depan.  – Bernama

Tiada ulasan: