Selasa, 31 Mei 2016

Karpal kekal bersalah di bawah akta hasutan, terima pencen

MALAYSIA DATELINE
 
 
Karpal case1Karpal case1

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan sabitan bersalah di bawah Akta Hasutan 1948 oleh Mahkamah Tinggi dua tahun lalu, terhadap mendiang Karpal Singh.

Bagaimanapun, panel tiga hakim diketuai Datuk Wira Mohtaruddin Baki yang membacakan penghakiman tidak mencapai keputusan sebulat suara dengan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang tidak bersetuju dengan penghakiman itu, manakala Hakim Datuk Kamardin Hashim bersetuju.

Mahkamah turut membuat keputusan untuk mengurangkan denda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi kepada RM1,800.

“Beliau (Karpal Singh) tidak hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen,” jelas Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang mewakili mendiang ayahnya seperti dilaporkan Roketkini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal yang turut mewakili mendiang Karpal menjelaskan kepada mahkamah bahawa mendiang yang juga ketika itu seorang Ahli Parlimen dan seorang peguam telah banyak menyumbang jasa dan bakti kepada sistem perundangan negara.

Menurutnya, denda RM4,000 yang ditetapkan Mahkamah Tinggi akan mengakibatkan mendiang Karpal hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen, sekaligus menjejaskan bayaran pencen yang berhak diterima oleh balu mendiang.

Sewaktu krisis rampasan kuasa negeri Perak pada Februari 2009, Karpal didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir oleh Almarhum Sultan Perak boleh dicabar di mahkamah.

Beliau kemudian didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Meski Mahkamah Tinggi telah melepas dan membebaskan Karpal Singh daripada pertuduhan itu pada 11 Jun 2010, Mahkamah Rayuan pada 20 Januari 2012 telah memerintahkan peguam berkenaan membela diri selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Karpal kemudiannya diputuskan bersalah pada Mac 2014, dan didenda RM4,000 kurang sebulan sebelum beliau meninggal dunia.

Selain keluarga mendiang, turut hadir ke mahkamah pagi ini adalah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Tiada ulasan: