Isnin, 30 Mei 2016

Husam tak ikut prosedur rayuan, kata PAS

 
 
Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang dipecat perlu mengikut prosedur dengan menghantar surat kepada Setiausaha Agung PAS sekiranya ingin membuat rayuan berhubung pemecatannya.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, berdasarkan perlembagaan parti, Pejabat Agung PAS akan membawa surat tersebut ke Jawatankuasa Kerja PAS pusat yang bertindak sebagai Mahkamah Rayuan.

"Pada saya kalau hantar surat (rayuan) selain daripada (langkah) itu, ia tidak mengikut peraturan.

"Kalau di mahkamah pun kita kena ikut prosedur. Apa susah sangat hantar surat kepada setiausaha agung?" katanya pada sidang media sempena Muktamar tahunan PAS ke-62, di Kota Bharu, hari ini.

Husam yang juga Adun Salor dipecat daripada PAS pada 24 Mei lalu melalui sepucuk surat daripada Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat, Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok.

Beliau sebelum ini dilaporkan akan menghantar surat kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memohon membatalkan pemecatannya sebagai anggota parti itu.

Takiyuddin berkata, beliau menyerahkan permohonan Husam yang dibuat tanpa mengikut prosedur itu kepada jawatankuasa terbabit untuk pertimbangan.

"Setakat ini saya difahamkan beliau tidak lagi berparti dan telah menerima surat mengatakan beliau tidak lagi mewakili PAS sebagai Adun. Dia anggap parti Bebas," katanya.

Boleh datang sebagai pemerhati

Ditanya mengenai hasrat Husam untuk menghadiri Muktamar yang akan bermula esok, katanya, PAS tidak menyekat Husam.

"Dia boleh datang, kita bagi dia sebagai pemerhati sajalah," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai usul pada Muktamar kali ini beliau berkata, PAS tidak akan menyentuh isu berkaitan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Menurutnya, AMANAH bukan satu isu untuk dibahaskan walaupun parti itu ditubuhkan serpihan bekas pemimpin-pemimpin PAS.

"Untuk kami, AMANAH bukan satu isu. Kita tak perlu ambil tahu dan mereka tak perlu susah-susah fikir hal kita.

"Saya rasa presiden (juga) tidak akan sentuh langsung," katanya yang juga anggota Parlimen Kota Bharu.


Tiada ulasan: