Rabu, 27 April 2016

Ular sawa batik masuk sekolah

 
Pengawal keselamatan menemui ular berkenaan di dalam longkang, kira-kira jam 6.30 pagi tadi.


ular_sekolah_600


KOTA BHARU: Seekor ular sawa batik sepanjang lebih lima meter ditemui di kawasan Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan, Tumpat, pagi tadi.

Guru Besar, Mohd Hasmy Hashim berkata, pengawal keselamatan menemui ular berkenaan di dalam longkang, kira-kira jam 6.30 pagi.

“Nasib baik kerana kebanyakan murid masih belum tiba di sekolah. Pihak sekolah terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia untuk menangkap reptilia berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Ahmad Yani Muhammad berkata, pihaknya menyarankan sekolah mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan mereka.

Beliau turut menasihatkan pihak keselamatan sekolah supaya membuat rondaan pada awal pagi, bagi memastikan tiada ular memasuki kawasan sekolah.

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Tanah Merah menerima 88 kes berhubung penemuan ular oleh penduduk, sejak Februari lalu.

Pengawai Operasinya, Mohd Fadli Hassan berkata, pada Febuari lalu, pihaknya menerima 28 panggilan, 33 panggilan pada Mac dan 27 panggilan dalam bulan ini sehingga semalam.

“Kes terbaru ialah semalam, di mana pihak kami menangkap seekor tedung selar sepanjang tujuh meter di sebuah rumah di Kampung Lubuk Agol, Chawas,” katanya.

Tiada ulasan: