Khamis, 28 April 2016

PKR enggan berundur, selesai pertikaian kerusi dengan DAP selepas 7 Mei

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: PKR enggan berundur daripada enam kerusi kontroversi di Sarawak dan menegaskan sebarang isu berbangkit yang timbul berhubung pertembungan kerusi dengan DAP itu hanya akan diselesaikan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), 7 Mei depan.
 
Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar berkata PKR akan terus maju ke depan dan berkempen seperti biasa, selepas kedua-dua parti tidak mahu bertolak-ansur di kerusi Batu Kitang, Ngemah, Mulu, Murum, Simanggang dan Mambong. 
 
"Saya dah rasa cukup dah banyak komen berkait isu pencalonan. Apa yang penting tertumpu kepada kempen yang sedang berlangsung. 
 
"Maka kita akan adakan mesyuarat dan rungkai isu-isu ini selepas 7 Mei. Jadi kalau itulah soalan yang akan ditanya, saya akan menjawab cara yang sama juga kecuali ada soalan-soalan lain. 
 
"Saya rasa kenyataan DAP jelas menjurus kepada 'moving on'. Jadi, hari saya tertumpu kepada calon-calon dan gerak kerja di lapangan," kata Izzah dalam sidang media di ibu paejabat parti itu tadi, sebagai maklum balas kepada kenyataan DAP bahawa rundingan antara kedua-dua parti berkenaan bersabit pertikaian kerusi-kerusi itu sudah berakhir.
 
Izzah, yang juga Naib Presiden PKR sebaliknya berkata parti 'menyerahkan' segalanya kepada pengundi untuk membuat keputusan di kerusi-kerusi yang menjadi perebutan itu.
 
"Kita fokus kepada pilihan raya. Biar calon yang terbaik menang," katanya lagi.
 
DAP sebelum ini menyatakan kekecewaan selepas rakan komponennya, PKR menolak tawaran yang dicadangkan mereka agar menarik balik calonnya di lima kerusi bertindih.
 
Sebagai tukaran, DAP akan melepaskan Batu Kitang sekiranya PKR berhenti berkempen di lima kerusi lain.
 
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini menyifatkan partinya seperti 'ditipu' oleh PKR dalam kerusi-kerusi yang akan ditandingi itu.
 
Izzah, dalam sidang media yang sama juga tidak mahu mengulas pertembungan parti itu dengan PAS di tiga kerusi yang lain, iaitu Kakus, Jepak dan Lambir.
 
PKR dan PAS sebelum ini mengikat perjanjian untuk tidak meletakkan calon di mana-mana kawasan yang ditandingi salah satu di antara mereka sempena PRN Sarawak kali ke-11 ini.
 
 

Tiada ulasan: