Ahad, 27 Mac 2016

"Semua subsidi ditarik, rakyat pekerja sengsara," kata Abdullah Sani

 ARIF ATAN


Perbahasan Abdullah Sani yang mendedahkan penderitaan golongan pekerja menarik perhatian hadirin.Perbahasan Abdullah Sani yang mendedahkan penderitaan golongan pekerja menarik perhatian hadirin.


Menarik perhatian peserta Kongres Rakyat 2016 yang memenuhi dewan persidangan di SACC, Shah Alam hari ini, ucapan pemimpin golongan pekerja yang mengecam kepimpinan Najib Razak.

Pemangku Presiden MTUC Abdullah Sani Abdul Hamid menegaskan ratusan ribu pekerja hilang sumber pendapatan akibat kejatuhan ekonomi negara mutakhir ini.

"Rakyat pekerja derita dan sengsara. Lebih 400,000 pekerja jadi penganggur terhormat. Ratusan ribu graduan tidak memperoleh pekerjaan.

"Kos sara hidup naik mendadak dengan kepimpinan tidak tentu hala tuju," bidasnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat dari PKR itu.

Beliau berkata, pada masa ini semua subsidi ditarik dengan kesan paling buruk menimpa rakyat apabila cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan mulai April tahun lalu.

"Hari ini semua subsidi ditarik. Pagi cakap lain, petang cakap lain, jam 12 tengah malam cakap lain (kenaikan harga).

"Rakyat sengsara kena cukai itu, ini. GST penyebab utama rakyat derita. GST menyebabkan banyak syarikat tutup operasi mereka," ujarnya.

Beberapa kali beliau turut menekankan tentang situasi pemberhentian pekerja yang kritikal pada masa ini.
"Hari-hari saya dapat maklumat pekerja hilang kerja. Banyak kilang, syarikat tutup. Sudah hampir 70,000 pekerja dipecat dalam tempoh tiga bulan lalu.
"Saya yakin rakyat di desa dan bandar padat dengan kesengsaraan. Negara ini perlukan perubahan.

"Mana rakyat yang tak mahu sertai (Deklarasi dan Kongres Rakyat), yang nak beri tongkat (pada Najib), pergi m*mpus.

"Rakyat kena bangkit menolak Najib dan Rosmah," tegasnya diikuti tepukan gemuruh hadirin.

Kongres Rakyat 2016 pada hari ini susulan daripada pemeteraian Deklarasi Rakyat pada 4 Mac lalu yang disertai parti dan NGO merentas fahaman politik.

Tiada ulasan: