Selasa, 29 Mac 2016

Sallehin bidas Husam, PAS tak pernah sekongkol selamatkan Najib

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah membuat pendirian untuk menyelamatkan riwayat politik Datuk Seri Najib Razak.
 
Ahli Jawatankusa PAS Pusat, Sallehin Mukhyi berkata demikian membidas tuduhan terhadap Hadi, bahawa PAS mahu Najib kekal sehingga pilihan raya akan datang untuk mengelakkan situasi huru-hara.
 
Beliau dalam pada itu mengingatkan Datuk Husam Musa agar merujuk kepada Hadi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang dakwaan.
 
"Husam, sebelum buat kenyataan kena rujuk ucapannya kepada Presiden. Sebab saya rasa itu persepsi yang tidak betul. 
 
"Tidak pernah Presiden buat kenyataan PAS nak selamatkan Najib. Tetapi kita bercakap dalam konteks politik matang bahawa apa yang sebenarnya kita mahukan daripada Najib," katanya yang ditemui pemberita di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, tengah hari tadi.
 
Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa pada malam tadi sekali lagi mengkritik Hadi berkenaan pendekatan yang diambil PAS terhadap Najib, yang didakwa sebagai canggung tatkala ramai kepimpinan Umno mahu Najib berundur.
 
Husam berkata demikian dalam sesi ceramah sempena Muafakat Selamatkan Malaysia di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, malam tadi.
 
Sallehin juga menggesa Husam supaya memahami sebetulnya pendirian yang diambil PAS dalam isu yang membabitkan kepimpinan Najib.
 
"Tidak ada makna buat pertukaran dalam keadaan sistem yang sama. Lebih baik perubahan itu melalui pilihan raya. 
 
"Jika yang naik sekalipun Mukhriz dan masih BN, jadi apakah maknanya," terang ADUN Sabak itu lagi.
 
Husam bersama bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfodz Omar hadir di siri jelajah pertama Deklarasi Rakyat pada malam tadi.
 
Sebagaimana yang diketahui Husam antara yang paling lantang mengkritik Hadi sehingga menyebabkan beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin parti.
 
Februari lalu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu mahu jawatankuasa berkenaan mempertimbangkan dan memutuskan segera kes berkenaan bagi mengelakkan sesuatu kesan yang tidak baik serta tohmahan yang berterusan.
 
Sallehin pada masa sama tidak menolak kemungkinan parti akan mengambil tindakan terhadap Husam, lebih-lebih lagi apabila pemimpin tersebut hadir di Kongres Rakyat 2016, Ahad lalu.
 
"Sekarang sedang dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Disiplin untuk tindakan lanjut. 
 
"Kenyataan yang dibuat oleh Husam adalah serangan peribadi terhadap Presiden. Maknanya, parti perlu melihat tindakan itu secara profesional, bukan terus ambil tindakan. Sebab fokus beliau terhadap beberapa pemimpin sahaja," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: