Rabu, 30 Mac 2016

Khairy Jamaluddin diminta jelas dana RM19 juta untuk tanam cili kepada NGO berkaitan MIC

ong_kian_ming_650x340

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Mengapa Kementerian Belia dan Sukan – yang dilanda skandal penyelewengan RM107 juta – memberi dana RM19 juta kepada sebuah NGO yang didalangi oleh MIC, sebuah parti komponen Barisan Nasional, untuk projek tanaman cili?

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata adalah tidak wajar dan tidak beretika untuk sesebuah kementerian menyalur dana wang rakyat ke sebuah NGO yang tidak diketahui ramai yang dikuasai oleh sebuah parti komponen kerajaan.

“Setelah lebih dua tahun NGO berkenaan didaftarkan, laman web yang disiarkan hanyalah perkara-perkara yang asas sahaja dan untuk yayasan seperti itu yang seharusnya mendekati golongan muda, NGO berkenaan tidak ada akaun Facebook atau Twitter pun.

“Tambahan pula penganugerahan dana kerajaan kepada NGO yang secara efektifnya dikawal oleh parti politik adalah tidak boleh diterima dan tidak beretika,” katanya dalam satu kenyataan, menambah bahawa NGO berkenaan juga tidak diaudit oleh Ketua Audit Negara mahupun kementerian terbabit.

Beliau mengulas persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar, di Dewan Rakyat pada 8 Mac lalu berhubung tindakan KBS menyalurkan dana berjumlah RM19 juta ke NGO yang bernama Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baru – New Affirmative Action Movement (NAAM) yang dipengerusikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, M. Saravanan.

Kian Ming yang juga Penolong Setiausaha DAP Selangor turut melahirkan kebimbangan berhubung isu berkenaan, yang menurutnya, dipersoalkan selepas pendedahan tergempar pegawai dari kementerian yang sama didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana menggelapkan dana kerajaan sebanyak RM107 juta.

Tambahnya lagi, jika perkara itu berlaku terhadap parti pembangkang, khususnya DAP, sudah tentu tindakan pantas telah diambil SPRM untuk menyiasat sebarang dakwaan seumpama itu.

“Pendedahan terbaru mengenai unsur rasuah yang melibatkan RM107 juta di KBS membuktikan bahawa penyelewengan dana kerajaan dan amalan rasuah boleh berlaku tanpa pengetahuan Menteri.

“Justeru saya gesa supaya Menteri, Khairy Jamaluddin, menjelaskan kepada umum mengenai penyaluran dana berkenaan bagi membuktikan bahawa tiada unsur penyelewengan dana kerajaan yang berlaku,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: