Selasa, 29 Mac 2016

Kanak-kanak hilang pulang dengan patung harimau

BERNAMA




Selepas hilang lebih 24 jam, seorang kanak-kanak yang dipercayai dilarikan berhampiran Bangunan Mara di Plaza Astana dekat Kuching semalam dikembalikan kepada keluarganya petang tadi.

Nenek kepada Haiqal Hakimi Suhini, 7, Ubai Mohammad, 56, berkata cucunya dikembalikan ke rumahnya di Kampung Tupong Ulu Baru oleh seorang lelaki yang menaiki motosikal.

"Dalam pukul 2 atau tiga petang tadi, masa mak cik sedang melipat baju, lelaki itu datang menghantar cucu mak cik. Mak cik rasa sangat gembira.

"Lelaki tu cakap dia jumpa cucu mak cik di tepi jalan dan bawa dia pulang ke rumahnya. Mak cik amat bersyukur cucu mak cik selamat. Terima kasih juga kepada semua yang tolong mencari termasuk polis dan orang ramai," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata cucunya memaklumkan semasa berada di rumah lelaki tersebut, dia dijaga dengan baik dan turut diberi main permainan video.

"Masa serahkan cucu mak cik tadi, lelaki itu ada bagi beberapa helai pakaian dan satu patung harimau," kata Ubai.

Sementara itu bapa Haiqal Hakimi, Suhini Abdullah, 36, yang tiada di rumah semasa lelaki tersebut menghantar anaknya turut menyatakan kesyukuran.

Beberapa anggota polis turut berada di rumah keluarga itu sebelum membawa Haiqal Hakimi bersama bapa dan ibunya ke hospital untuk melakukan pemeriksaan.

Seorang jiran yang enggan dikenali memberitahu lelaki berkenaan berada kira-kira 10 minit sebelum beredar dari situ.

"Saya dan beberapa jiran kemudiannya memeriksa jika ada sebarang kecederaan pada fizikal Haiqal Hakimi tetapi semuanya okey," katanya.

Kanak-kanak tersebut dilapor dilarikan ketika bermain di hadapan rumah neneknya di Jalan Astana oleh seorang wanita yang kemudiannya dilihat menyerahkan pula kanak-kanak itu kepada lelaki tersebut.
- Bernama


Tiada ulasan: