Ahad, 27 Mac 2016

DAP kesal Ketua Polis enggan minta maaf, lawat keluarga arwah Aminulrasyid


Oleh Syazana Hasanudin


SHAH ALAM: DAP kesal dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang masih enggan meminta maaf kepada keluarga arwah Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis enam tahun lalu, walaupun keputusan mahkamah memihak kepada keluarga itu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata beliau kecewa apabila Khalid terus cuba mempertahankan polis yang membunuh Aminulrasyid tersebut kerana ia menunjukkan tahap profesionalismenya yang cetek.

“Amat menyedihkan apabila Khalid masih tidak mahu meminta maaf dan cuba melindungi polis yang terlibat dalam kes itu kerana ia menunjukkan tahap profesionalisme yang bertentangan dengan tugas mereka menegakkan kebenaran dan undang-undang.

“Khalid sepatutnya menjadi contoh baik kepada polis yang lain dengan menunjukkan bahawa walaupun polis mempunyai kuasa menangkap penjenayah, mereka juga tidak boleh lari dari hukuman jika melakukan jenayah,” katanya.

Kit Siang berkata demikian semasa membuat kunjungan ke rumah keluarga arwah Aminulrasyid  yang mati ditembak polis enam tahun lalu di Shah Alam petang tadi.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, Khalid bukanlah satu-satunya pihak yang harus meminta maaf kepada keluarga arwah, malah, semua menteri yang terlibat perlu membuat perkara sama.

“Bukan hanya Khalid, tetapi bekas dan Menteri Dalam Negeri sekarang, Hishamuddin Hussein dan Zahid Hamidi turut perlu meminta maaf atas salah laku polis tersebut,” katanya.

Pada masa sama, keluarga arwah Aminulrasyid ketika ditemui berkata, mereka berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap apa yang menimpa arwah.

Mereka turut melahirkan rasa lega dan gembira dengan keputusan mahkamah yang memihak kepada mereka serta mengarahkan pegawai polis terlibat, Ketua Polis Negara dan kerajaan Persekutuan membayar gantirugi sebanyak RM414,800 kepada mereka.

“Makcik berasa lega apabila mahkamah memihak kepada kami. Segala penat lelah kami dalam memperjuangkan kebenaran dan nasib arwah akhirnya tidak sia-sia.

“Bukan duit yang kami harapkan, tapi sekurang-kurangnya kini, nama baik arwah yang tercalar sebelum ini akibat kontroversi dapat dibersihkan.

“Makcik berterima kasih kepada semua yang membantu selama ini dan berharap agar kes seperti ini tidak berlaku lagi. Biarlah kes ini merupakan kes terakhir yang melibatkan pembunuhan orang awam oleh polis,” kata ibu arwah Aminulrasyid, Norsiah Mohammad, kepada Roketkini.

Turut bersama Kit Siang dalam pertemuan itu adalah beberapa pemimpin dan ahli DAP termasuk Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah dan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng. – Roketkini.com


Tiada ulasan: