Khamis, 31 Mac 2016

Ali Tinju sampaikan memo anti-DAP penuh drama

Yap Jia Hee

 


Kumpulan anti-DAP yang menamakan diri mereka Gerakan Merah hari ini menghantar memorandum mengkritik setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng.

Bagaimanapun, memorandum mengkritik Lim, ketua menteri Pulau Pinang itu sampai dengan penuh drama di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur.

Kumpulan 30 orang dipimpin oleh Mohd Ali Baharom, yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju, pada mulanya disambut oleh anggota jawatankuasa DAP Selangor Edry Faisal Yusof.

Drama bermula apabila mereka enggan menyerahkan dokumen itu kepada orang Melayu.

"Kami mahu orang Cina keluar terima memo. Kami tak nak orang Melayu (terima). Orang Melayu tak ada kaitan dengan ini.

"Maruah Melayu jangan digadaikan," laungan salah seorang ahli Gerakan Merah dengan marah.




DAP sering digambarkan musuh politiknya sebagai parti Cina walaupun semakin ramai orang Melayu menyertainya akhir-akhir ini.

Susulan penolakan itu, DAP terpaksa menghantar Ketua Pentadbir Ibu Pejabat DAP Chu Yoon Ming sebagai wakil untuk menerima memorandum itu.

Setelah menerimanya, Chu memberi pula memorandum balas DAP kepada kumpulan itu.

Memorandum itu menyeru Gerakan Merah untuk bersama-sama dalam kempen "Selamatkan Malaysia" yang mendesak pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Namun, Ali Tinju enggan menerima memorandum daripada Chu dan bertindak drastik dengan mencampakannya ke lantai lalu memijak memorandum DAP itu.

Dengan marah beliau berkata: "Kami tak nak (memorandum DAP)".

Dalam memorandumnya, Gerakan Merah mahu Lim bercuti sementara ke atas isu pembelian banglonya bawah harga pasaran di Pulau Pinang berjalan.

Mereka sebelum itu tiba di ibu pejabat DAP dengan kain rentang sambil melaungkan slogan anti-Lim seperti "Lim Guan Eng rasuah", "Lim Guan Eng tipu rakyat" dan "Hancur Lim Guan Eng".


Tiada ulasan: