Isnin, 28 Mac 2016

Akhbar Melayu, Inggeris remehkan berita Kongres Rakyat

MALAYSIAKINI




Berita mengenai Kongres Rakyat di Shah Alam semalam yang disertai Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil 'hilang' daripada muka hadapan akhbar-akhbar harian pagi ini.

Utusan Malaysia yang dikuasai Umno menyiarkan isu mengenai banglo Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan aktiviti pembalakan di Perak, manakala jeti haram, iklan elektronik dan Menteri Besar Terengganu menjadi isu muka hadapan New Straits Times, The Star dan Berita Harian.

Hanya akhbar harian Cina menjadikan perhimpunan yang disertai Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil di Pusat Konvensyen Shah Alam semalam sebagai tajuk utama.

NST membawa satu laporan mengenai himpunan itu di muka surat 12 dengan tajuk 'Dr M Admids to being dictator' (Dr M mengaku jadi diktator), manakala Berita Harian di muka surat 11 bertajuk 'Bertentangan perlembagaan'.

Laporan penuh The Star dengan berhati-hati menulis ‘Still trying to warm up’ (Masih cuba untuk memanaskan).

Sinar satu-satunya akhbar Melayu 

Utusan menyiarkan laporan mereka mengenai perhimpunan itu di muka 8 dengan artikel enam perenggan bertajuk 'Mahathir akui turunkan Najib tiada dalam perlembagaan'.

Satu-satunya laporan lain Utusan terhadap acara sehari suntuk itu ialah laporan pendek yang menumpukan kepada ucapan MP Seputeh Teresa Kok mengenai isu pembelian banglo Guan Eng.

Sinar Harian merupakan satu-satunya akhbar harian bukan berbahasa Cina yang menyiarkan muka depan dengan tajuk 'Rakyat Sudah Hilang Sabar' dan gambar menunjukkan Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjulang tangan dengan musuh-musuh politik mereka seperti Datuk Seri Azmin Ali, Lim Kit Siang dan Datuk Mahfuz Omar.

Akhbar harian berbahasa Melayu itu membuat liputan dengan tiga laporan halaman penuh.

Akhbar harian Cina kebanyakannya menonjolkan gambar yang bersejarah dengan Sin Chew Daily menampilkan Lim berjabat tangan dengan Muhyiddin Yassin dan Mahathir dengan tajuk 'Umno menentukan PM baru'.

Oriental Daily memilih tajuk 'Perjumpaan tertutup serang Najib' manakala Nanyang Siang Pau bertajuk 'Tandatangani Deklarasi Rakyat tanpa Takut', dengan memetik ucapan Mahathir semalam yang menggesa orang ramai menyokong gerakan menyingkirkan Najib.


Tiada ulasan: