Khamis, 31 Mac 2016

1MDB gesa Rafizi henti ganggu siasatan PAC

 
1MDB sebelum ini telah memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa dan ia tidak memerlukan campur tangan pihak luar.


Rafizi


PETALING JAYA: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menggesa Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli supaya berhenti menggangu siasatan yang sedang dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap anak syarikat milik kerajaan itu.

1MDB menerusi satu kenyataan media berkata demikian menjawab tindakan Rafizi yang telah membuat laporan polis terhadap Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan pasukan pengurusan 1MDB berhubung dakwaan pecah amanah yang menurut beliau terkandung dalam sebuah dokumen Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Katanya, pihak pengurusan 1MDB sebelum ini telah memberi kerjasama penuh kepada semua pihak untuk melakukan siasatan terhadap syarikat itu.

“1MDB memahami bahawa Rafizi telah membuat laporan polis terhadap pihak pengurusan kanan 1MDB. 1MDB mengesahkan bahawa pasukan pengurusan kanan akan bekerjasama sepenuhnya dengan mana-mana siasatan yang difikirkan wajar oleh pihak polis.

“Rafizi mendakwa bahawa beliau telah mendedahkan kepada umum maklumat sulit berkaitan dengan perkara tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Sekiranya apa yang dilakukan oleh Rafizi adalah benar, maka ini secara jelas melanggar undang-undang, sekurang-kurangnya mengejutkan dan lebih teruk datang daripada seorang Ahli Parlimen,” katanya lagi dalam kenyataan itu.

Mengulas lanjut, tuduhan yang dibuat Ahli Parlimen Pandan itu juga merupakan sebahagian daripada siasatan PAC, yang turut dianggotai Ahli Parlmen Barisan Nasional (BN) dan pihak pembangkang.

Malah, tidak ada keperluan untuk Rafizi mensensasikan sesuatu isu yang sedang disiasat sekaligus perbuatan itu bertentangan dengan undang-undang.

“1MDB secara konsisten menyatakan sekiranya terdapat sebarang salah laku, maka tindakan perlu diambil mengikut undang-undang. Kita juga mengulangi pendirian bahawa komitmen 1MDB untuk bekerjasama kepada pihak berkuasa,” katanya.

Semalam, Rafizi telah membuat laporan polis terhadap Arul dan pihak pengurusan kanan 1MDB yang didakwa telah melakukan pecah amanah, selain turut menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB itu jika pendedahan beliau itu tidak benar.

Tiada ulasan: