Jumaat, 26 Februari 2016

Tiada pilihan lain, Mahathir sahkan hadir 27 Mac ini

MALAYSIAKINI




Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui bahawa beliau akan menghadiri perhimpunan pada 27 Mac ini yang mahu menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tidak mempunyai pilihan lain.

Katanya, pilihan lain bagi menyuarakan bantahan terhadap kerajaan sudah disekat dan ini memaksanya menyertai perhimpunan yang tidak dipersetujui dan ditentangnya semasa menjadi perdana menteri.

"Perkara sudah ubah. Dulu, kita ada forum untuk suarakan bantahan kepada kerajaan. Sekarang dah tak ada. Perhimpunan juga tak dibenarkan.

"Sekarang, rakyat juga dihalang bermesyuarat walaupun di dalam bilik. Sebelum ini, boleh. Tapi sekarang tak boleh. Rakyat tak boleh cakap apa-apa langsung sekarang, kena dengar kerajaan saja,” katanya.

Perhimpunan 27 Mac ini adalah anjuran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang memaklumkan bahawa ia adalah acara tertutup.

Beliau juga berkata selain parti-parti politik daripada pelbagai pihak, badan bukan kerajaan serta beberapa individu akan dijemput dengan Dr Mahathir sebagai tetamu utama.

Mengulas lanjut, bekas perdana menteri itu juga menyatakan kesudiannya untuk berucap bagi menerangkan masalah yang melanda rakyat dan negara ketika ini.

"Jika mereka mahu saya ucap, ya, saya akan cakap," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di KLCC di Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: