Jumaat, 26 Februari 2016

PKR mahu JK parlimen pantau SKMM

MALAYSIAKINI




PKR menggesa sebuah jawatankuasa pengawasan yang bertanggungjawab kepada parlimen ditubuhkan untuk mengawas dan meneliti aktiviti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Gesaan itu dibuat setelah suruhanjaya itu menyekat capaian The Malaysian Insider (TMI), yang diakui menteri mempunyai kaitan dengan laporan bahawa terdapat cukup bukti untuk mendakwa Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil (gambar) berkata jawatankuasa dicadangkan itu boleh turut mengesyorkan langkah-langkah perlu jika terbukti wujud salah guna kuasa SKMM.

“Hanya dengan langkah-langkah ini maka SKMM yang neutral dan yang lebih bertanggungjawab kepada Rakyat boleh menjadi realiti,” katanya.

Fahmi menegaskan keperluan mekanisme semak dan imbang diwujudkan selari dengan prinsip tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang.
Perkara itu, katanya lagi, boleh dilaksana dengan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 pada sesi parlimen akan datang untuk memastikan SKMM perlu mendapat perintah mahkamah sebelum menghalang akses laman web.

SKMM semalam menyekat TMI kerana didakwa melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Ia berkaitan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Suruhanjaya itu semalam tidak menyatakan dengan jelas tulisan yang mendorong sekatan itu dibuat.

Bagaimanapun, polis akan menyiasat laporannya mengenai syor yang dikatakan dibuat Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi panel itu Hamid Bugo malam tadi menafikan pihaknya percaya terdapat bukti cukup untuk mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaunnya serta siasatan kes SRC International.

Mengulas sekatan semalam, Fahmi berkata perkara itu menjadi bukti bahawa “kuasa tanpa kawalan adalah ancaman kepada demokrasi di Malaysia”.

“Oleh itu saya menggesa SKMM untuk berhenti dari menghukum dengan sewenang-wenang, terutama berkaitan kandungan yang diakses di Malaysia,” katanya.


Tiada ulasan: