Isnin, 29 Februari 2016

MT Umno mahu Muhyiddin dipecat bukan gantung - Nazri

Anne Muhammad  




Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz mendedahkan bahawa sebilangan besar di kalangan mereka pada mesyuarat Jumaat lalu mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin dilucutkan keahliannya dari parti, sekaligus menyebabkannya hilang semua jawatan parti.

Bagaimanapun, katanya ada yang tidak bersetuju, termasuk dirinya yang mempertahankan supaya Muhyddin tidak pecat tetapi hanya digantung memandangkan bekas timbalan perdana menteri itu tidak menjalankan tugasnya sebagai orang nombor dua parti yang sepatutnya membantu Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

“Saya tak kisah, nak cerita apa yang berlaku, yang dua jam bincang… ada yang cadang supaya dia dipecat terus (dan) nak gantung terus keahlian dia.

“Ada yang MT nak pecat dia tapi saya pertahankan usul saya kerana dia tak jalankan tugas dia sebagai timbalan presiden, jadi gantung sahaja jawatan dia,” katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Nazri, ada juga di kalangan ahli MT yang tidak bersetuju dengan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya digantung jawatan.

Senang 'gantung' Muhyiddin
Pada mesyuarat Jumaat lalu, Muhyiddin serta-merta digantung jawatannya sebagai timbalan presiden Umno.

Nazri juga mengakui usul penggantungan jawatan Muhyiddin dibawanya pada mesyuarat berkenaan.
Sebelum ini, Nazri menyifatkan tindakan Muhyiddin sejak kebelakangan ini ibarat “anjing yang sibuk menggigit kaki” sehingga menyukarkan parti melaksanakan tanggungjawab membantu rakyat.

Muhyiddin dalam reaksinya menegaskan bahawa beliau tidak akan merayu mengenai penggantungan jawatannya sebagai timbalan presiden Umno, walaupun beliau mempertikai cara MT membuat keputusan tersebut.

Nazri pada sidang akhbar itu juga menjelaskan mengapa tindakan hanya diambil ke atas Muhyiddin dan tidaknya ke atas beberapa pemimpin Umno yang juga dianggap lantang.

“Kalau nak ambil tindakan yang tegas pada dia, kita kena buat juga pada Tan Sri Shafie Apdal,Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir tapi pada ketika itu kita cuma bercakap mengenai Muhyiddin…

“Pada ketika itu oleh kerana hangat (perbincangan mengenai) Muhyiddin jadi yang lain kita tak bincang… Muhyiddin senang, gantung jawatan Timbalan Presiden, itu senang,” katanya.


Tiada ulasan: