Khamis, 25 Februari 2016

Mahdzir: Mana boleh Muhyiddin kritik presiden Umno?

BERNAMA




Timbalan presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu bekerjasama dengan pemimpin lain dalam parti itu sebagai satu pasukan padu, bukannya mengkritik pemimpin tertinggi, kata anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ketika menyuarakan sokongannya terhadap saranan agar tindakan diambil terhadap Muhyiddin, Mahdzir berkata kritikan yang dibuat berulang kali oleh Muhyiddin tentang cara pihak pentadbiran negara menangani kontroversi 1MDB, boleh melemahkan kerajaan.

Menteri Pendidikan itu berkata: "Untuk membina sebuah pertubuhan politik yang kuat, kita perlu bersatu sebagai sebuah pasukan yang mempunyai hubungan kerja yang kukuh antara pemimpin parti dan anggota peringkat akar umbi.

"Mana boleh anda mengkritik presiden parti sendiri? Apa jua masalah perlulah diselesaikan dengan cara sewajarnya melalui perbincangan di dalam parti, bukan secara terbuka," katanya kepada pemberita selepas melawat ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Medan di Petaling Jayahari ini.

Isnin lepas, anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata Muhyiddin perlu berundur sekiranya beliau tidak lagi boleh menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau dengan sewajarnya.

Ditanya sama ada tindakan perlu diambil terhadap Muhyiddin, Mahdzir berkata: "Saya menyokong penuh saranan agar Muhyiddin dirujuk kepada jawatankuasa disiplin. Beliau sering menyuarakan komen (terhadap kepimpinan tertinggi) sejak kebelakangan ini dan sebarang perbuatan yang boleh merosakkan parti, perlulah dihentikan."-Bernama


Tiada ulasan: