Isnin, 29 Februari 2016

KM minta SUPP, UPP, SPDP, TERAS berkompromi

MALAYSIAKINI




Dua parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri Sarawak dan parti serpihan masing-masing diminta menyelesaikan segera pertikaian di antara mereka sebelum menjelang pilihan raya negeri Ke-11 (PRN11).

Sekiranya gagal untuk berkompromi di antara satu sama lain, mereka tidak boleh menggunakan logo BN pada pilihan raya itu, demikian tegas Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

“Jadi saya akan beri guna logo parti hanya kepada ahli-ahli pasukan saya seperti mana dinyatakan oleh perdana menteri.

"Sesiapa yang menentang, terpulang kepada mereka, tetapi mereka tidak boleh guna logo dacing, perlu guna simbol mereka sendiri,” katanya.

Adenan yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bercakap kepada pemberita di Sibu semalam selepas merasmikan Program Memperkasa Jentera Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 bagi PBB bagi Zon 10.

Zon 10 merangkumi kawasan DUN Nangka, Pelawan, Bukit Assek, Dudong dan Bawang Assan.

Parti komponen yang dimaksudkan itu ialah Sarawak United People’s Party (SUPP) dan serpihannya United People’s Party (UPP) serta Sarawak Progresive Democratic Party (SPDP) dan serpihannya Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Parti-parti tersebut masih tidak dapat menyelesaikan pertikaian di antaramereka terutama berhubung kerusi yang hendak ditandingi pada PRN11.

Ditanya mengenai peluang PBB untuk memenangi 40 kerusi yang bakal ditandinginya, Adenan berkata itulah harapan parti pimpinannya itu.

“Dulu (PRN10-2011), PBB berjaya memenangi kesemua 35 kerusi yang ditandingi. (Kali ini) kita bertanding di 40 kerusi dan kita perlu juga memenangi kesemua kerusi berkenaan,” tegasnya.

Turut hadir di majlis itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar dan ADUN Nangka Dr. Annuar Rapa’ee.- Bernama


Tiada ulasan: