Jumaat, 26 Februari 2016

'Kadar kemiskinan Orang Asli jauh lebih tinggi dari angka PBB'

Anne Muhammad


Laporan berkaitan kadar kemiskinan melibatkan Orang Asli yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) adalah jauh lebih rendah dari jumlah terkini.

Penyelars Kampung Orang Asli Pahang Shafie Deris berkata kadar kemiskinan tersebut bukanlah 34 peratus isi rumah Orang Asli, sebaliknya ia mencecah 70 peratus.

“Bagi saya laporan yang PBB keluarkan, jumlahnya lebih rendah, sebenarnya jumlah peratus kemiskinan lebih tinggi mengikut kadar yang sebenarnya.

"Saya ingat dalam 70 peratus kemiskinan di kalangan Orang Asli,” katanya yang merujuk kajian dari Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Sebelum ini, laporan PBB menyebut, walaupun kadar kemiskinan turun secara menyeluruh di Malaysia, kaum tertentu adalah amat ketara dalam statistik kemiskinan.

Data dalam laporan itu menunjukkan sebanyak 34 peratus isi rumah Orang Asli adalah miskin.

Pada 2010, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kerajaan telah meluluskan Dasar Pembangunan dan Pemberimilikan Tanah Kepada Orang Asli (DPPTOA).

Di bawah dasar tersebut, hanya seluas 4,000 kaki persegi tapak rumah, dua ekar hingga enam ekar tanah ladang yang diberi kepada Orang Asli mengikut kemampuan negeri, manakala lebihan tanah tidak boleh dituntut di mahkamah.

Mengulas lanjut, Shafie berkata, kerajaan hendaklah mempertimbangkan gesaan pihak yang memperjuangkan hak-hak Orang Asli, terutamanya berkaitan inkuiri hak tanah Orang Asli.

Menurutnya tindakan kerajaan mengecilkan jumlah pemberian tanah kurang daripada enam ekar kepada mereka, hanya akan memiskinkan Orang Asli berikutan setiap keluarga masyarakat itu memiliki sekurang-kurangnya sepuluh ekar tanah.

“Kita sedang berusaha berbincang dengan kerajaan yang ingin mengisytiharkan tanah Orang Asli, sebab apabila kerajaan beri dua, tiga ekar dan paling banyak adalah enam ekar, ia dilihat hanya memiskinkan Orang Asli.

“Orang Asli banyak tanah dan paling sedikit yang mereka ada adalah sepuluh ekar, jadi apabila jumlahnya dikecilkan, mereka akan jadi lebih miskin.

“Kalau kerajaan meneruskan dasar pemilikan tanah ini, maksudnya lebih ramai lagi Orang Asli yang miskin dan yang kaya akan miskin kerana dulu Orang Asli memiliki tanah paling sedikit sepuluh ekar,” katanya.

Justeru katanya, kerajaan harus memainkan peranan dalam membantu Orang Asli dalam menyelesaikan masalah kemiskinan tersebut.

Katanya, Orang Asli mempunyai kemahiran terutamanya dalam pembuatan kraf tangan dan beliau berharap kerajaan membantu mempromosikannya.

“Kerajaan harus bantu Orang Asli mempromosikan pembuatan kraf tangan, tapi tidak ada usaha yang dibuat. Cuma yang banyak bantu adalah NGO dan individu.

“Seharusnya kerajaan bantu supaya jana ekonomi Orang Asli sebab mereka banyak kemahiran,” tegasnya.

Malah, beliau turut bersetuju dengan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya ‘tidak memberikan ikan sebaliknya pancing’ kepada Orang Asli untuk terus berusaha mempertingkatkan ekonomi mereka.

“Tidak perlu beri bantuan, tapi beri cara bagaimana mahu tingkatkan ekonomi Orang Asli. Seperti kata Tun Dr Mahathir lebih baik beri pancing daripada beri ikan. Kalau bagi ikan sampai bila nak bagi ikan,” katanya.


Tiada ulasan: