Khamis, 25 Februari 2016

Jepun tinjau pasaran kosmetik halal

BERNAMA


Industri kosmetik Jepun berminat untuk memasuki pasaran halal di negara-negara Islam, kata Persatuan Industri Kosmetik Jepun.

Pengarah Bahagian Dalamannya Tetsuya Kambe berkata walaupun permintaan bagi produk kosmetik di negara-negara Islam semakin meningkat, cabaran paling besar ialah untuk mendapatkan pensijilan halal terutama bagi beberapa bahan-bahan yang digunakan dalam produk.

Persatuan itu juga melihat kerjasama dengan Malaysia sebagai platform yang baik untuk meneroka pasaran halal kerana negara ini dianggap sebagai hab global bagi pengeluaran serta perdagangan barangan dan perkhidmatan halal, katanya.

"Industri halal berkembang pesat dan permintaan di negara-negara Islam bagi produk kosmetik juga menggalakkan.

"Tetapi kami perlu mengkajinya dan masih berbincang mengenai potensi industri halal," katanya kepada Bernama di Seminar Minggu Kecantikan Jepun yang berlangsung di kediaman Duta Besar Jepun ke Malaysia di Kuala Lumpur.

Pasaran kecantikan dan penjagaan diri Jepun bernilai kira-kira US$50 bilion dari segi saiz, kedua selepas Amerika Syarikat (iaitu kira-kira US$70 bilion), menurut Euromonitor International.

Walaupun pasaran kosmetik di Jepun adalah antara yang paling berdaya saing di dunia dan sebahagian besarnya dikuasai oleh pengeluar domestik seperti Shiseido, Kanebo, Kose dan Kao, syarikat-syarikat dan pengguna masih aktif mencari produk inovatif dari luar negara.

Sementara itu, Pengarah dan Kaunselor Hal Ehwal Ekonomi Kedutaan Jepun Kohei Nakamura berkata produk kosmetik Jepun boleh menghadapi persaingan yang sengit di Malaysia apabila Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) mula berkuat kuasa.

"(Tetapi) ini merupakan peluang untuk meningkatkan kualiti produk kami. Kami menghargai persaingan, ia akan menjadi lebih mencabar tetapi kita perlu berfikir secara positif," katanya.

Nakamura berkata Malaysia mengimport produk kosmetik Jepun bernilai dua bilion yen (RM800 juta) tahun lepas.


Tiada ulasan: