SIBU - Anggota pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) boleh menjadi "mata dan telinga" pasukan keselamatan negara ini dalam menentang ancaman IS dan jenayah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata ini kerana pasukan itu mempunyai anggota di seluruh negara, termasuk di kampung dan penempatan yang jauh dari bandar.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sambutan Ulang Tahun Ke-44 Rela peringkat kebangsaan di Dataran Perbandaran Sibu 2 di sini hari ini.

"Di Sarawak sahaja, Rela mempunyai 332,818 anggota dan merupakan pasukan yang tidak boleh dipandang ringan.

"Sudah tentu kewujudan mereka sangat membantu Polis dan pasukan tentera dalam manangani masalah moden (ancaman IS) ini, yang sedang dihadapi negara," katanya.

Ahmad Zahid berkata, Rela kini dianggap sebagai barisan kedua dalam mempertahankan negara.

Pada majlis itu, beliau juga memberi jaminan kepada anggota Rela bahawa kerajaan akan terus memberi bantuan untuk membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab dengan berkesan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, yang turut hadir pada majlis itu, kerana bersetuju menyediakan peruntukan RM4 juta bagi membantu Rela.

Mengenai pilihan raya negeri Sarawak akan datang, Ahmad Zahid berkata beliau berharap semua anggota Rela akan terus memberi sokongan padu kepada kerajaan negeri.

"Ketua Menteri telah menunjukkan bahawa beliau amat menyenangi pergerakan ini. Marilah kita memberi sokongan penuh kepada beliau untuk menerajui negeri ini sekali lagi kerana beliau telah mempamerkan prestasi yang cemerlang," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Adenan berkata negara sedang berdepan dengan ancaman baharu dan lebih menggerunkan daripada militan IS.

"Mereka menyalahgunakan agama Islam dan menggunakannya mengikut sesuka hati mereka untuk melakukan jenayah kejam seperti membunuh manusia yang tidak bersalah serta melakukan serangan bom bunuh diri.

"Saya berharap Rela di seluruh negara boleh membantu memerangi mereka," katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa tidak boleh ada sebarang kompromi dalam menentang pengganas moden ini.

Kira-kira 10,000 anggota Rela dari 33 daerah di negeri ini menyertai sambutan itu. - Bernama