ALOR SETAR,  “Pertemuan itu bukan dengan saya, dengan ADUN-ADUN serta Jemaah.”

Itu kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika diminta mengulas mengenai satu pertemuan antara Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dengan anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, esok.

Pertemuan tersebut dipercayai berkaitan dengan kemelut politik membabitkan kedudukan Mukhriz sebagai Menteri Besar.

Ketika ditanya mengenai sebab pertemuan tersebut, Mukhriz berkata kemungkinan pihak Jemaah Pemangku Sultan Kedah mahu mengetahui pendirian politik di kalangan ADUN terlibat.

Bagaimanapun, Mukhriz mengesahkan tidak akan hadir namun akan berjumpa pihak Jemaah Pemangku Sultan Kedah secara perseorangan.

“Mungkin ada beberapa soalan yang Jemaah nak tanya kepada ADUN-ADUN ini untuk memastikan adakah benar mereka mempunyai pendirian seperti yang dilaporkan dalam sidang media pada 20 Januari lalu.

“Saya tidak hadir. Kalaupun saya hadir hanya berjumpa secara perseorangan. Saya tidak akan berada dalam pejabat di mana wawancara itu diadakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini hari ini.

Suasana politik di Kedah ‘panas’ sejak kebelakangan ini apabila Mukhriz menerima tekanan daripada ADUN dan Anggota Parlimen Umno Kedah, serta pemimpin kanan Umno negeri yang diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mereka secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.

Terdapat maklumat bahawa 19 daripada 21 ADUN BN – 17 daripada Umno dan dua MCA – telah menandatangani surat akuan menyatakan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Tan Sri Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, yang juga Tunku Temenggong Kedah, di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan di ibu negara bagi membincangkan mengenai pertukaran Menteri Besar.

Turut hadir pada pertemuan hampir sejam itu adalah dua lagi anggota jemaah iaitu Tunku Laksamana Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Najib dalam sidang media pada hari yang sama selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dilaporkan sebagai berkata beliau telah menyembah maklum beberapa cadangan kepada Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah berhubung kemelut berkenaan.