Ahad, 31 Januari 2016

Pembangunan Kuala Lumpur bertaraf dunia

SINAR HARIAN


Kuala Lumpur
Kuala Lumpur


KUALA LUMPUR - "Saya amat berpuas hati dengan pembangunan Kuala Lumpur sekarang, bandar raya ini sudah maju bertaraf dunia".

Demikian pandangan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Elyas Omar sebaik ditujukan soalan berhubung pencapaian Kuala Lumpur pada masa kini

Elyas yang pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar semenjak 1981 hingga 1992 kagum dengan wajah kota metropolitan itu yang kini dijadikan penanda aras prestasi kemajuan Malaysia.

"Perancangan kita sudah tercapai dengan pengangkutan awam yang 'world standard', sistem kita lebih canggih, projek Transit Aliran Massa (MRT) yang sedang dibuat pun sama canggih dengan bandar-bandar maju seperti New York, San Francisco...," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau juga memuji perkhidmatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana membentuk sebuah bandar raya yang membangun dengan pesat serta menjadikannya sebagai lokasi tumpuan pekerjaan sehinggalah mencatatkan peningkatan penduduk di sini.

Bagaimanapun Elyas mencadangkan agar pihak DBKL dan pihak Kementerian Wilayah Persekutuan perlu memberi fokus dalam memperbanyakkan lagi pembinaan rumah mampu milik di dalam kawasan bandar dengan harga yang berpatutan.

Beliau meluahkan rasa kecewa ekoran harga rumah di dalam bandar sekarang yang dilihat terlalu tinggi sehingga golongan berpendapatan sederhana tidak mampu untuk membelinya.

Selain itu, pada sesi temu bual sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang akan diraikan esok, beliau turut mencadangkan agar DBKL membangunkan semula kawasan yang diklasifikasi sebagai 'kawasan usang' menjadi perkampungan baharu.

Katanya, kawasan usang merupakan kawasan yang diduduki penduduk asal Kuala Lumpur pada zaman darurat antaranya seperti di Kampung Pandan, Kampung Datuk Keramat, Kampung Baru, Gombak dan Kampung Jinjang, di sini.

"Bangunkan semula rumah atau bangunan yang sudah berusia melebihi 50 tahun, jadikannya sebagai kampung tradisi yang lebih teratur dan berkonsepkan reka bentuk inovatif," katanya yang mencadangkan agar ciri-ciri tradisinya dikekalkan.

Beliau berkata, pembangunan semula seperti ini dapat membantu Kuala Lumpur dikembangkan secara menyeluruh dengan menjadikan kawasan lain sebagai kawasan tumpuan selain pusat bandar.

Selain itu, Elyas turut mencadangkan beberapa pelan pembangunan untuk membangunkan Kuala Lumpur antaranya, mengkaji kaedah untuk mewujudkan 'Underground City' seperti di Montreal, Canada iaitu pembangunan di bawah tanah yang meliputi pembinaan jalan raya dan pusat perdagangan.

Katanya, ekoran tanah di Kuala Lumpur kian pesat membangun dan semakin terhad, adalah baik sekiranya kajian dilaksanakan dalam mewujudkan sebuah bandar di bawah tanah.

Dari segi infrastruktur pengangkutan, beliau mencadangkan agar Transit Aliran Ringan (LRT) diperluaskan di seluruh kawasan dalam bandar raya ini bagi membantu warga kota untuk beralih menggunakan pengangkutan awam selain mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Elyas yang pernah menjadi Datuk Bandar selama 11 tahun itu juga menyatakan kesediaan untuk membantu dalam memberi khidmat nasihat dan pandangan kepada DBKL dalam menstruktur pembangunan di bandar raya ini. - Bernama


Tiada ulasan: