Jumaat, 29 Januari 2016

MTUC, Cuepacs bantah potongan 3% KWSP pekerja

Kow Gah Chie


 


Dua kesatuan pekerja terbesar di negara ini tidak bersetuju dengan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengurangkan caruman pekerja bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak tiga peratus seperti yang diumumkan dalam semakan Bajet 2016.

Kedua-duanya - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mewakili 11.4 juta pekerja swasta dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mewakili 1.6 juta kakitangan awam - menyuarakan kebimbangan mereka berhubung langkah sedemikian.

Setiausaha Agung MTUC, N Gopal Kishnam berkata pihaknya menentang tindakan secara automatik untuk mengurangkan caruman pekerja-pekerja bermula Mac 2016 hingga Disember 2017.

"Kami akan menulis surat bantahan kepada Perdana Menteri. Dia tidak seharusnya meminta pekerja yang ingin mengekalkan caruman KWSP pada kadar sebanyak 11 peratus untuk membuat permohonan.

"Sebaliknya, beliau perlu meminta mereka yang setuju caruman KWSP dikurangkan sebanyak tiga peratus menjadi lapan peratus untuk mengisi borang," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Pada ucapan semakan Bajet 2016 semalam, Najib mengumumkan langkah itu sebagai satu daripada 11 langkah utama untuk merangsang ekonomi dan meningkatkan perbelanjaan penggunaan sektor swasta kepada RM8 bilion setahun.

Hidup selesa

Gopal berkata, kerajaan tidak seharusnya menjadikan dana persaraan pekerja sebagai sasaran berikutan kebimbangan bahawa ia mungkin tidak cukup bagi mereka untuk hidup selesa selepas bersara.

"Ia adalah satu kesalahan mengikut Akta KWSP yang menetapkan bahawa pekerja perlu menyumbang sekurang-kurangnya 11 peratus daripada pendapatan bulanan mereka," katanya.

Gopal juga mempersoalkan bagaimana pegurangan sekecil tiga peratus boleh menyumbang kepada ekonomi negara.

"Jika kerajaan mahu membantu golongan berpendapatan pertengahan dan rendah, mereka perlu menggalakkan majikan membayar kos pelarasan sara hidup (Cola) kepada kakitangan mereka.

"Kerajaan mengemukakan idea sama iaitu mengurangkan tiga peratus caruman KWSP pada tahun 2009 tetapi ini tidak diterima secara meluas.

“Mengapa perdana menteri tidak belajar daripada pengalaman itu?" soal Gopal.

Presiden Cuepacs Azih Muda ketika dihubungi berkata pihaknya cukup tidak bersetuju dengan pengurangan tiga peratus caruman KWSP oleh pekerja.

Menurutnya, sebahagian besar rakyat tidak sanggup melihat dana persaraan mereka dikurangkan.

Beliau menggesa orang ramai supaya memaklumkan kepada kerajaan bahawa mereka ingin mengekalkan caruman KWSP mereka pada 11 peratus.

"Saya juga cadangkan kepada kerajaan untuk hanya melaksanakan langkah itu bagi tahun ini.
“Jangan lanjutkannya hingga Disember 2017," katanya.

Tanpa memberikan butirannya, Azih meminta kerajaan dan majikan untuk membantu pekerja apabila langkah itu berkuat kuasa.

Tiada ulasan: