Ahad, 31 Januari 2016

Mahfuz: SD anti-Mukhriz hanya setaraf 'kertas tandas'

MALAYSIAKINI


 


Selepas pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah semalam, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, sebarang akuan bersumpah (SD) yang dipersembahkan bagi menyokong desakan supaya menukar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hanya setaraf 'kertas tandas'.

"Sebarang dokumen Akuan Bersumpah ADUN Umno Kedah yang dipersembahkan ke bawah Duli Tuanku Sultan dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk menunjukkan yang Mukhriz tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ADUN Kedah, adalah suatu penghinaan ke bawah Tuanku Sultan (Abdul Halim Muadzam Shah).

"Kertas akuan bersumpah tersebut hanya setaraf 'kertas tandas' kerana diperolehi secara tidak demokratik seperti yang didakwa oleh ADUN Kota Seputih (Datuk Abu Hassan Sarif)," kata Mahfuz dalam satu kenyataan.

Abu Hassan yang dipetik oleh Malaysian Insider minggu lalu sebagai berkata dia hampir jatuh ke dalam laut ketika melarikan diri kerana "diburu" bagi mendapatkan "sesuatu".

Walaupun Abu Hassan enggan mendedahkan sebab sebenar di sebalik kejadian itu, laporan yang sama memetik sumber-sumber yang berkata 19 ADUN telah menandatangani SD untuk menunjukkan mereka hilang sokongan kepada Mukhriz.

"Jika akuan bersumpah ADUN Umno diterima untuk menyingkir Mukhriz sebagai MB, ini bermakna kerajaan baru yang akan dibentuk nanti adalah kerajaan boneka yang tiada moral politik untuk mentadbir negeri Kedah.

"Kerajaan tersebut hanya layak untuk mentadbir dan mengurus sebuah tandas," kata Mahfuz sambil menambah bahawa pengakuan Abu Hassan itu hanya mengesahkan keraguannya terhadap kesahihan SD tersebut.

Sebelum ini dilaporkan bahawa dua ADUN MCA Kedah telah menafikan menandatangani SD, walaupun sumber-sumber mendakwa sebaliknya.

Semalam, Najib berkata pertemuannya dengan Majlis Regency berjalan lancar dan senarai nama yang dicadangkan sebagai pengganti Mukhriz telah diserahkan dan tidak ditolak oleh istana.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan senarai nama itu dan berkata Mukhriz akan kekal sebagai menteri besar Kedah dan pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri sehingga diberitahu kelak.

Kedah Dewan Undangan Negeri mempunyai 36 ADUN - 21 daripada BN, dan baki 15 daripada PAS, PKR, DAP, dan Parti Amanah Negara.

Tiada ulasan: