Ahad, 31 Januari 2016

Jenayah suapan kini sah di sisi undang undang?



Oleh Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar


Dengan keputusan peguam negara untuk mengiktiraf wang derma berbilion ringgit kepada pegawai tinggi kerajaan sebagai tidak melakukan sebarang kesalahan maka memudahkan para pengamal undang-undang yang membela anggota polis, JPJ dan kakitangan kerajaan lain yang dituduh menerima rasuah.

Para peguam temasuk penulis tidak akan ragu berhujah dalam mahkamah yang anak guam masing-masing cuma menerima derma saja bukannya suapan.

Sekalipun derma adalah satu kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 namun disebabkan keputusan peguam negara yang terbaru maka ia boleh menjadi satu asas yang kukuh untuk memohon kepada mahkamah yang mulia supaya membebaskan anak guam masing-masing.


Dengan pengumuman peguam negara juga, para penerima rasuah boleh lah terus menerus menerima rasuah seperti biasa dan menyimpan wang tunai di setiap sudut rumah dan juga ditanam di dalam tanah tanpa ragu kerana mereka tahu yang mereka kini akan terlepas daripada hukuman selepas mereka didakwa di mahkamah nanti.

Malah pernah ada kes yang satu bilik khas dalam rumah digunakan untuk menyimpan wang tunai.
Kini golongan ini tidaklah perlu risau lagi.

Pegawai pejabat tanah yang terlibat dengan kes bauksit pun tidak perlu risau lagi, tenangkan fikiran kerana mengetahui mereka akan dibebaskan bila tiba hari bicara di mahkamah nanti.

Semalam satu kes dibawa ke Mahkamah Rayuan di hadapan panel 3 hakim Mahkamah Rayuan di mana peguambela Manjit Singh Dhillon dalam kes berkenaan merayu agar perayu dibebaskan daripada hukuman rasuah kerana menerima derma politik ketika negeri Selangor di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar, perayu adalah pegawai khas menteri besar Selangor ketika itu.

Malah peguambela membacakan hansard Parlimen kepada Mahkamah Rayuan di mana seorang menteri berkata tiada sebarang undang-undang yang mengatakan menerima derma politik itu satu kesalahan.

Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan rayuan.

Perlu disebut yang timbalan pendakwaraya bagi pihak SPRM cuba berhujah yang perayu yang menerima derma politik juga membuka akaun yang berbeza yang menunjukkan unsur tidak jujur untuk menerima derma politik.

Namun perayu tetap tidak perlu bimbang kerana kes terbesar berbilion ringgit yang diputuskan peguam negara juga penerima derma politik tidak memasukkan wang ke akaun partinya tetapi sebaliknya kepada beberapa akaun peribadinya sendiri juga dianggap tiada kes malah peguam negara mengarahkan kes berkenaan ditutup.

Malaysia ini menjadi negara paling bertuah untuk pegawai kerajaan menerima wang sekalipun dengan kadar yang banyak yang cuma perlu dianggap derma bukan lagi suapan.

Justeru, adalah dicadangkan peguam negara membawa pindaan kepada Akta SPRM 2009 untuk membatalkan derma dan menerima derma sebagai pemegang amanah sebagai satu kesalahan .

Perlembagaan Persekutuan juga dicadangkan dipinda untuk memudahkan seseorang yang tiada kelulusan undang undang hatta darjah 6 sahaja sekalipun layak dilantik menjadi peguam negara memandangkan semakin bodoh peguam negara semakin mudah segala bentuk perbuatan jenayah tidak lagi dikategorikan sebagai jenayah.

Kriteria baru paling penting untuk menjadi peguam negara selepas pindaan Perlembagaan ialah pernah aktif dalam parti politik dan pernah  bertanding dalam pilihan raya umum mewakili mana-mana parti politik .
Peguam negara juga berkata mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusannya boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk tafsiran.

Mahkamah Persekutuan ialah tempat berkerja asal peguam negara selepas dinaikkan pangkat secara ekspres selepas menjadi persuruhjaya kehakiman pada 2003.

Justeru Mahkamah Persekutuan mungkin forum yang kurang sesuai untuk tujuan itu.

Satu mekanisma baharu perlu diluluskan Parlimen contohnya biarlah peguam negara menjawab terus kepada ahli Parlimen walaupun ramai yang dungu namun Dewan Rakyat masih ada Rafizi , Tony Phua, Nurul Izzah, Lim

Kit Siang dan lain yang sekalipun berhujah dengan fakta tetap akan ditewaskan dengan sekadar undi golongan yang tidak mempunyai akal yang waras kecuali menurut arahan ketua semata mata ataupun jika tidak diarahkan sekalipun mempunyai semangat kesukanan mengampu yang tinggi.

Majulah mengampu untuk negara.

Inilah transformasi yang paling berjaya iaitu menghalalkan jenayah suapan sebagai derma halal yang boleh diterima dan dipulangkan bakinya tanpa pengetahuan penderma , sekalipun taklimat tertutup dan kenyataan terbuka beberapa orang pemimpin parti berkenaan pernah mengisytiharkan keseluruhan wang derma berbilion ringgit dibelanjakan untuk pilihan raya. Wallahualam.

*Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar adalah peguambela dan peguamcara.

Tiada ulasan: