Ahad, 31 Januari 2016

Jasad isteri U-Wei yang hilang ditemui di pantai Amerika Syarikat


THE MALAYSIAN INSIDER
 
 
Isteri kepada pengarah filem tersohor tempatan U-Wei Saari, Diana Gail Saari, 62, ditemui mati di perairan sebuah pantai di Alameda, California, Amerika Syarikat Jumaat lepas setelah 7 hari dilaporkan hilang.

U Wei atau nama sebenarnya Zuhir, dalam responsnya kepada Bernama melalui Whatsapp, enggan mengulas lanjut dan hanya mencatat: "Terima kasih. Doakan rohnya dirahmati, ditenangi dan disenangi Allah dan berada bersama orang yang beriman."

Sebelum itu, pada Rabu lepas U-Wei dalam catatan di laman Facebooknya menulis: "i love you usah (gail)."

Status berkenaan dipenuhi dengan ucapan takziah sejak semalam daripada kaum keluarga dan rakannya termasuk Sabri Yunus, Pyanhabib, Khalid Salleh, Siti Zainon Ismail dan Eman Manan. The San Francisco Chronicle melaporkan jasad Gail dijumpai  Unit Marin Jabatan Polis Oakland di perairan luar pantai Alameda, California pada petang Jumaat (waktu tempatan) selepas dilaporkan hilang lebih seminggu.

Gail hilang pada 22 Januari di Oakland, California dan beberapa teman melaporkan melihatnya kali terakhir pada kira-kira 10 pagi waktu tempatan hari yang sama.

Beliau bertugas sebagai pengarah penerbitan di Independent Institute, sebuah badan pemikir yang tidak bermotifkan keuntungan di 100 Swan Way, Oakland.

Sementara itu, Independent Institute dalam laman webnya menyatakan sebelum menyertai Institute, Gail adalah Editor Urusan untuk CMP Media dan buku Backbeat di mana beliau menerbitkan buku mengenai muzik, video digital dan kejuruteraan komputer.

Beliau juga tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur selama beberapa tahun dengan menjadi Editor Urusan bagi majalah Malaysian Naturalist.

Gail mendapat sarjana muda Sastera dari Universiti Tennessee dan ijazah sarjana Sastera dalam Hal Ehwal Antarabangsa dari Universiti Ohio. – Bernama,




Tiada ulasan: