Ahad, 31 Januari 2016

Jangan abaikan Sarawak dan rakyatnya, kata Adenan



 Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem sekali lagi mengingatkan Putrajaya dan pihak tidak bertanggungjawab supaya berhenti melayan negeri dan rakyat Sarawak seperti mereka tidak penting. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 Januari, 2016.Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem sekali lagi mengingatkan Putrajaya dan pihak tidak bertanggungjawab supaya berhenti melayan negeri dan rakyat Sarawak seperti mereka tidak penting. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem sekali lagi mengingatkan Putrajaya dan pihak tidak bertanggungjawab supaya berhenti melayan negeri dan rakyat Sarawak seperti mereka tidak penting. Amaran itu, ditujukan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab dan korup.

Adenan berkata beliau bukanlah pekak atau buta sampai tidak boleh melihat apa yang sedang terjadi dalam negara ini dan akan “menghentam mereka yang merasakan beliau tidak ambil peduli”.

 Bercakap di hadapan lebih kurang 700 ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di majlis pelancaran seminar pilihan raya N8 Satok malam semalam, Adenan berkata, salah 1 kekecewaannya ialah kategori “lain-lain” dalam borang rasmi kerajaan.  
 
“Borang sedia ada menyenaraikan Melayu, Cina, India dan lain-lain. Kita tidak mahu perkara tidak masuk akal seperti ini di Sarawak.

 “Orang Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau dan banyak lagi kumpulan orang asal di Sarawak bukan “lain-lain”. Kita tidak mahu melihat perkara ini lagi. Sebaliknya, kami mahu mengubahnya kepada “Bumiputera,” katanya.

Beliau menambah sekiranya kerajaan persekutuan tidak mahu menggugurkan kategori itu, beliau akan mendesak penduduk Sarawak untuk memotong perkataan “lain-lain” dalam borang, dan menulis perkataan “Bumiputera” di atasnya.

 “Saya tidak peduli, perkataan itu perlu dimasukkan,” katanya.

Dalam perhimpunan itu, Adenan juga memberi amaran kepada pihak tertentu yang menggelarkan orang Cina sebagai “pendatang” supaya tidak lagi berbuat demikian.

“Orang Cina di Sarawak bukan pendatang. Mereka sudah berada di sini selama dua hingga lima generasi lamanya, malah ratusan tahun. Mereka sebahagian daripada kita, yang bersama-sama membina negara ini,” katanya.

 Adenan juga tidak berselindung dalam ucapannya, berkata keengganan kerajaan untuk terus tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) ialah tindakan bodoh dan akan menyebabkan Malaysia kehilangan tenaga kerja yang baik.

“Di Sarawak, kita mempunyai banyak sekolah persendirian Cina, malah hakikatnya 80% pelajarnya adalah orang bumiputera.

“Mereka menawarkan kualiti pendidikan yang sama dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) jadi saya tidak nampak mengapa kerajaan persekutuan tidak mahu mengiktiraf UEC.

“Kita kehilangan tenaga manusia yang baik, saya tidak peduli apa yang dilakukan kerajaan persekutuan, saya mengiktiraf UEC,” kata Adenan.

Pada masa sama, Adenan juga mengeluarkan amaran kepada individu atau syarikat tidak bertanggungjawab yang mahu mengambil alih tanah adapt orang asal negeri (NCR).

“Tidak berlaku lagi pengambilan tanah NCR dan saya boleh beritahu anda, yang kita sudahpun mempunyai ratusan hektar tanah perladangan komersial termasuklah Felcra dan Salcra, yang lebih daripada mencukupi.

“Saya sudah memutuskan tiada lagi pengambilan baru kerana kita mahu melindungi orang asal kita dan tanah mereka."

Adenan berkata kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan lagi lesen baru untuk syarikat pembalakan, termasuklah lesen jentera untuk syarikat sedia ada.

“Lesen itu dikeluarkan kerjaan negeri yang digunakan untuk membalak di luar kawasan yang dibenarkan. 
Mereka ingat itu hutan datuk nenek mereka agaknya, ingat saya ini pekak dan buta,” katanya.


Tiada ulasan: