Jumaat, 29 Januari 2016

Derma RM2.6b jadi hujah bebas bekas pembantu MB

Hafiz Yatim


 


Sumbangan politik sebanyak RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak digunakan sebagai salah satu hujah untuk memohon pembebasan bekas pembantu kepada Menteri Besar Selangor pada tahun 2008, Mohd Yahya Mat Sahri, di Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini.

Ia merupakan asas yang pertama kali digunakan di negara ini, berikutan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali Selasa lalu untuk tidak mengenakan pendakwaan terhadap Najib.

Peguam Manjeet Singh Dhillon memberitahu panel tiga hakim bahawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam hansard parlimen berkata sumbangan politik adalah perkara biasa dan mereka yang menerimanya tidak boleh dikenakan tindakan.
"Dalam kes kami melibatkan Mohd Yahya Mat Sahri, pembantu politik kepada menteri besar Selangor, sumbangan politik diperolehi untuk meraikan 100 hari (Pakatan Rakyat) memerintah pada tahun 2008, di mana penderma telah dikenalpasti, penerima parti politik telah dikenal pasti (PKR) dan penderma itu memberikannya secara rela dan memberi keterangan tiada penipuan dan kekeliruan, dan parti politik itu menyediakan akaun yang telah diaudit.
"Wang itu tidak pernah digunakan, tidak walau sesen oleh pelanggan saya," kata Manjeet, bekas presiden Majlis Peguam merujuk kepada derma RM50,000.
Beliau bertanya apakah jenayah yang dikatakan dilakukan oleh pelanggannya Mohd Sahri, di mana penderma yang merupakan Presiden Kumpulan Darul Ehsan Bhd, Datuk Abdul Karim Munisar memberi keterangan bahawa dia tidak ditipu dalam pemberian RM50,000 bagi meraikan 100 hari pemerintahan pembangkang.

Mohd Yahya disabitkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun lepas dan dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan rotan kerana dikatakan menipu Abdul Karim.
Bekas pembantu kepada menteri besar terdahulu, Tan Sri Khalid Ibrahim itu pertama kali dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Oktober 2013.
Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim menangguhkan keputusan hari ini kepada Mac. Ini merupakan peluang terakhir bagi Mohd Yahya untuk membuat rayuan.

Tiada ulasan: