Sabtu, 30 Januari 2016

"Bukan saya yang tentukan bila PRN Sarawak"

SINAR HARIAN


Adenan Satem
Adenan Satem


SIBU - Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini menjelaskan beliau tidak menetapkan tarikh Pilihan Raya Negeri kepada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan mereka baru-baru ini.

"Saya juga tidak memberitahu mereka apa yang harus dilakukan apabila Dun dibubarkan nanti.

"SPR tahu apa yang perlu dilakukan kerana pilihan raya adalah prerogatif mereka. Saya harap ini dapat menjelaskan segalanya.

"Tidak perlu untuk saya memberitahu mereka," katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke-44 Rela di Sibu Town Square 2 di sini hari ini.

Adenan berkata demikian sebagai mengulas kritikan dan sindiran daripada parti pembangkang bahawa beliau sudah campur tangan menentukan tarikh itu.

Ketika merasmikan seminar pilihan raya bagi DUN Satok di Kuching malam tadi, Adenan berkata beliau ada menemui pegawai SPR dan mencadangkan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak diadakan pada 18 April manakala hari mengundi pada 30 April.

Mengenai pembubaran DUN, Adenan berkata beliau akan menemui Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud terlebih dahulu sebelum mengumumkan pembubarannya.

Sementara itu, Adenan berkata Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mempunyai ego yang sangat tinggi.

Adenan berkata demikian sebagai merujuk kepada kenyataan Chong hari ini bahawa beliau memilih April sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri kerana ia bertindih dengan tarikh perbicaraan Chong berhubung pembabitannya dalam Bersih 4.

Chong yang juga Ahli Parlimen Kuching didakwa bersama Ahli Parlimen Stampin Julian Tan (juga dari DAP) mengikut Seksyen A(2)(c) Akta Perhimpunan Aman kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan jalanan pada 28 Ogos tahun lepas bagi menyertai Bersih 4 di sini.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh didenda maksimum RM10,000, sekali gus membatalkan kelayakannya bertanding dalam sebarang pilihan raya selama lima tahun.

"Chong jelas mempunyai pandangan yang tinggi kepada diri sendiri. Beliau berasakan kehadiran dirinya penting untuk menentukan tarikh (pilihan raya) itu.

Apa yang saya lakukan tidak ada kena mengena dengan perbicaraannya," kata Adenan.

Menurutnya, selama ini orang ramai turut membuat spekulasi pilihan raya itu akan diadakan bulan depan. - Bernama

Tiada ulasan: