KUALA LUMPUR,  Bank-bank perlu mengetatkan peraturan pengeluaran kad kredit dan pinjaman peribadi untuk membantu mengurangkan peningkatan jumlah golongan muda yang muflis di Malaysia.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J. Solomon berkata peraturan yang longgar ketika ini dan kaedah kelulusan pinjaman peribadi ‘mudah dalam masa sejam’ menggoda pekerja muda untuk berhutang.

Menurut Jabatan Insolvensi Malaysia, kira-kira 25,000 orang berusia di bawah 35 tahun diisytiharkan muflis dalam tempoh lima tahun dari 2010, dengan majoritinya adalah disebabkan oleh kad kredit dan hutang pinjaman peribadi.

Solomon berkata pada 2014 nisbah pembayaran hutang isi rumah di Malaysia ialah sebanyak 43.5 peratus yang bermakna hampir separuh daripada pendapatan bulanan isi rumah digunakan untuk membayar hutang.

“Jika trend ini berterusan generasi masa depan negara akan terjejas teruk dan begitu juga ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Individu yang muflis akan berdepan banyak sekatan seperti tidak dapat membuka akaun bank, menjalankan perniagaan atau keluar negara tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Insolvensi dan juga tidak boleh memegang sebarang jawatan pengarah dalam sesebuah syarikat atau memegang jawatan politik.

Solomon mendedahkan kira-kira 7,000 ahli NUBE, atau kira-kira 17.12 peratus, menjalani kehidupan sukar disebabkan oleh hutang kad kredit.

“Ramai golongan muda yang mengambil jalan mudah mendapatkan kad kredit baharu untuk menyelesaikan hutang terkumpul daripada kad kredit lama.

“Teknik gali dan kambus ini dipromosikan oleh sesetengah bank yang mengeluarkan kad kredit tanpa pemeriksaan yang sewajarnya,” katanya sambil menggesa kerajaan untuk membantu mendidik golongan muda dalam pengurusan wang.

Beliau juga menggesa ahli NUBE tidak memilih pengurangan caruman KWSP dengan menyatakan ia akan menjejaskan dana persaraan mereka.

Dalam pengubahsuaian bajet 2016 baru-baru ini, kerajaan mengumumkan pekerja akan diberikan pilihan untuk mengurangkan bahagian caruman mereka daripada 11 peratus kepada lapan peratus bagi tempoh 21 bulan bermula Mac tahun ini.