Jumaat, 29 Januari 2016

Annuar Musa dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno

SINAR HARIAN


Annuar Musa
Annuar Musa


KUALA LUMPUR - Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa sebagai Ketua Penerangan Umno yang baharu, menggantikan Datuk Ahmad Maslan. 

Beliau berkata Ahmad, yang juga Anggota Parlimen Pontian, akan memegang portfolio baharu sebagai Pengerusi Biro Teknologi Maklumat parti.

Najib yang juga Perdana Menteri, turut mengumumkan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Anggota Parlimen Baling) sebagai Pengerusi Biro Daftar Pemilih dan Keanggotaan parti dan Datuk Johari Abdul Ghani (Anggota Parlimen Titiwangsa) sebagai Pengerusi Biro Ekonomi. 

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Anggota Parlimen Kepala Batas) pula menjadi Pengerusi Biro Pelajar Luar Negara Umno, kata Najib pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini hari ini.  

Selain itu, beliau berkata Datuk Mohd Razali Ibrahim (Anggota Parlimen Muar) menerajui Biro Institusi Pengajian Tinggi Swasta manakala Datuk Shamsul Anuar Nasarah (Anggota Parlimen Lenggong) pula menjadi Pengerusi Biro Kebajikan.

Najib seterusnya berkata Majlis Tertinggi Umno turut berbincang mengenai perkara seperti tarikh persidangan tahunan Umno peringkat cawangan dan peringkat bahagian bagi tahun ini, serta sambutan Ulang Tahun Umno ke-70 pada 11 Mei ini.

"Kita telah memutuskan persidangan tahunan untuk cawangan-cawangan parti akan bermula 18 Mac 2016 hingga 1 Mei 2016, (manakala) mesyuarat perwakilan bahagian pada 1 Ogos sehingga 15 September.

"Kita juga berbincang tentang sambutan Hari Ulang Tahun Umno ke-70 ... acara sambutan ini akan kita beri butirannya secara lebih lanjut lagi sebab tempat cadangan asal (iaitu) Stadium Nasional Bukit Jalil tidak boleh digunakan kerana sedang dibangunkan semula," katanya.

Beliau berkata antara program yang dirancang bersempena sambutan itu ialah larian bendera dan karnival sukan, dan ia akan dikendalikan oleh Ketua Pemuda Umno merangkap Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, Annuar, ketika ditemui pemberita, berkata beliau berterima kasih kepada presiden kerana mengamanahkan kepadanya tugas yang besar dalam Umno.

"Saya sedar jawatan ini berat tanggungjawabnya ... saya perlukan kerjasama semua pihak dalam Umno sama ada pengerusi-pengerusi perhubungan, sayap-sayap mahupun anggota parti," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: