Selasa, 29 Disember 2015

Sokong keperluan sekolah tidak dikenakan GST

beg sekolah
- Gambar hiasan
 
 
SHAH ALAM – Kerajaan disaran menerima cadangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk mengecualikan barangan keperluan sekolah daripada dikenakan GST bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat pada masa kini.

Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan UUM, Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, pada peringkat permulaan, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk tidak mengenakan GST bagi sebarang pembelian barangan keperluan persekolahan di koperasi-koperasi sekolah.

“Mungkin pada peringkat permulaan, mereka boleh mulakan di sekolah rendah dengan turut menawarkan harga pembelian yang lebih murah berbanding di luar.

“Ini akan menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada nasib pelajar dan tanda mereka (kerajaan) sayangkan pendidikan negara ini,” katanya, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Alangkah elok keperluan sekolah dikecualikan GST!]

Amir berkata, beliau sebelum ini juga pernah mencadangkan supaya setiap barangan keperluan pelajar dapat dikecualikan daripada dikenakan GST bagi meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah.

Menurutnya, pelajar merupakan aset kepada masa depan negara dan kerajaan sewajar memberikan keutamaan dan keprihatinan kepada nasib mereka.

“Pengecualian GST kepada barangan keperluan sekolah ini juga merupakan antara langkah untuk menjimatkan belanja ibu bapa yang berpendapatan rendah khususnya pada sesi awal persekolahan,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Maamor Osman memohon agar kerajaan dapat mempertimbangkan untuk  mengecualikan keperluan persekolahan daripada dikenakan GST.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya koperasi sekolah memainkan peranan dengan menawarkan harga yang lebih murah berbanding pasaran luar sebagai langkah untuk berjimat cermat

Tiada ulasan: