Selasa, 29 Disember 2015

PAS mahu kerajaan konsisten boikot Israel

 Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS menyokong tindakan kerajaan menyekat kemasukan dua atlet Israel dalam Kejohanan Luncur Angin Belia Antarabangsa di Langkawi, yang bermula semalam sehingga 3 Januari depan. 
 
Menurut Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS (DPPM) Khairil Nizam Khirudin, langkah yang dilakukan kerajaan itu berketepatan dengan pegangan rasmi Malaysia yang tidak mengiktiraf penubuhan negara Israel.
 
"DPPM menganggap tindakan Kerajaan yang menolak visa dua peserta Israel dalam Kejohanan Luncur Angin Belia Antarabangsa, Langkawi sebagai satu tindakan yang tepat memandangkan pada masa ini begitu banyak siri pembunuhan terbuka umat Islam Palestine dilakukan Israel", ujar Khairil dalam satu kenyataan hari ini.
 
Beliau mengulas mengenai tindakan kerajaan yang menolak visa dua peserta luncur angin dari Israel, Yoav Omer dan Noy Drihan daripada mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan. 
 
Ia dilakukan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
 
Khairil berkata, PAS juga menyarankan agar kerajaan mengambil sikap lebih konsisten dalam memboikot Israel serta sebarang hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.
 
"DPPM mahu Kerajaan Malaysia konsisten juga dalam perkara ini dan bersikap jujur kepada rakyat. Kita tidak mahu, hanya Menteri tertentu sahaja berani bersikap tegas kepada Israel, tapi kita mahu semua Menteri; khususnya Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. 
 
"Putuskan segera hubungan diplomatik dan dagang dengan Israel kerana Malaysia mampu memacu lebih jauh tanpa mereka", katanya.
 
Menurut beliau apa sahaja hubungan sama ada ekonomi, sosial dan sukan harus disekat kerajaan Malaysia.
 
"DPPM mahu Kerajaan Malaysia bersikap konsisten dalam memboikot Israel serta tidak mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan negara haram Israel itu.
 
"Selaras dengan pendirian Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1948 sehingga ke hari ini yang masih tidak mengiktiraf kedaulatan Israel, maka tiada seorang pun rakyat Israel boleh dibenarkan memasuki negara ini atas apa-apa tujuan sekalipun", katanya.
 
Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda Amanah (PAN) Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar tampil membidas kenyataan Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin.
 
Chong Zhemin semalam mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.
 
"Sebagai rakan gabungan Pakatan Harapan, kami berhak menegur DAP dalam hal ini kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.
 
"Kami sangat mengharapkan agar DAP lebih berhati-hati dalam megeluarkan sebarang kenyataan dan pandangan khususnya melibatkan sensitiviti umat Islam dan hukum hakam agama," kata Mohd Fakhrulrazi,
 
Oleh itu, Pemuda PAS Perak semalam mendesak DAP menarik balik kenyataan berkait isu penafian visa dua atlet luncur angin Israel dan segera meminta maaf.
 
Ketua Dewan Pemuda Pas Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, langkah kerajaan menafikan visa Israel adalah suatu perkara yang sangat kecil jika dibandingkan dengan kezaliman yang dilakukan Israel terhadap Palestin.
 
"DAP sepatutnya perlu lebih peka dengan politik dan hubungan kemanusiaan di luar negara. 
 
"Tindakan Ketua Biro pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zheminn menimbulkan persoalan tentang parti (DAP) yang katanya membawa agenda keadilan dan hak asasi manusia (namun) menyokong Israel yang secara rakus menyerang dan menindas Palestin serta rakyatnya," katanya.
 
Isu sekatan visa ke atas dua atlet Isreal oleh kerajaan turut mendapat pujian pelbagai pihak termasuk Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
 
Ujarnya sekatan itu wajar dikenakan meskipun melibatkan aktiviti sukan kerana ia juga sebahagian daripada aspek kemanusiaan.
 
 

Tiada ulasan: