KUALA LUMPUR,  Aktivis sosial veteran, Tan Sri Lee Lam Thye menyeru rakyat Malaysia membentuk sebuah masyarakat dan negara penyayang.


Jelasnya, tiada salahnya menjadi kaya, tetapi pada masa sama, mereka tidak boleh melupakan tanggungjawab sosial masing-masing.

“Saya cuba menjadi teladan dari segi berkhidmat kepada masyarakat.

“Mana-mana segmen masyarakat yang memerlukan bantuan, saya akan pastikan mereka terima bantuan diperlukan tanpa mengira kaum, sejajar konsep 1Malaysia,” katanya.

Beliau yang merupakan bekas ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP berkata, bantuan perlu diberikan kepada semua, kerana kemiskinan tidak mengenal batas perkauamn.

Menurutnya, semua orang boleh menjadi miskin, tanpa mengira bangsa.

Pada masa sama, Lee mengingatkan rakyat bahawa mereka akhirnya perlu membantu diri dengan mengamalkan sikap yang betul. 

“Saya berpegang kepada prinsip bahawa Tuhan tidak akan mengubah nasib, kecuali mereka membantu diri sendiri,” katanya.

Lee yang juga Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berkata demikian pada majlis pelancaran bukunya “Melalui Mata Saya” di kampus utama Universiti Terbuka Malaysia, hari ini. 

Lee berharap buku ketiganya itu dapat menarik pembaca untuk memahami pemikirannya dan menjadi inspirasi kepada mereka bagi mengikut jejak langkah beliau menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Lee yang mengambil berat tentang kesejahteraan rakyat Malaysia, sering menyumbang dalam bentuk tulisan di surat khabar dan memberi komen mengenai isu-isu semasa. 

“Sejak saya bersara daripada politik pada 1990, saya memainkan peranan aktif, terutamanya dalam aktiviti kebajikan yang sentiasa menjadi sebahagian daripada agenda saya,” katanya. 

Karya terbaru beliau memuatkan 250 tulisan-tulisannya dari 2011 hingga 2015.