Selasa, 29 Disember 2015

Jawatankuasa tertinggi tangani kos sara hidup bakal ditubuhkan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa peringkat tertinggi dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan ditubuhkan bagi membincangkan pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani peningkatan kos sara hidup rakyat.
 
Jawatankuasa itu bakal dianggotai enam menteri dan ketua setiausaha kementerian berkaitan.
 
Menteri terbabit ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
 
Pada sidang media hari ini, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan fungsi jawatankuasa itu tidak bertindih dengan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Kos Sara Hidup sedia ada yang juga dipengerusikannya.
 
Sebaliknya beliau berkata, jawatankuasa tertinggi itu akan membincangkan di peringkat awal isu berkenaan sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet.
 
Terdahulu dalam ucapan ketika merasmikan penutup Majlis Deklarasi Prioriti 2016: "Ekonomi Keutamaan Kita", Ahmad Zahid berkata, beliau akan mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menubuhkan jawatankuasa tertinggi itu.
 
"Saya menawarkan diri untuk mempengerusikan jawatankuasa berkenaan yang terdiri daripada enam menteri dan KSU kementerian berkenaan. "Insya-Allah dalam minggu pertama Januari ini, saya sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa bagi membincangkan semua resolusi yang dicapai hari ini.
 
"Saya akan jemput semua pemimpin NGO untuk bertemu bagi menyatakan pandangan kepada Perdana Menteri mengenai isu berkaitan kos sara hidup," katanya.
 
Majlis itu dianjurkan oleh Yayasan Damai Sejahtera Malaysia yang dinaungi beliau.
 
Resolusi itu dicapai hasil pandangan 50 NGO bagi menangani cabaran ekonomi 2016 dan cabaran kenaikan kos sara hidup menerusi Pelan Tindakan Strategik Enam Kluster Teras.
 
Kluster itu membabitkan mahasiswa; wanita dan keluarga; keusahawanan dan perniagaan; golongan bandar dan luar bandar; keseniaan dan persuratan serta pekerja dan pesara.
 
Berkonsepkan satu kluster NGO satu teras tumpuan, ditubuhkan Majlis NGO Kreatif dan Inovatif (MANGKIN) untuk mengambil tindakan susulan.
 
 

Tiada ulasan: