Isnin, 28 Disember 2015

Gambar Dr Mariah pegang tangan 'lelaki' jadi isu

MALAYSIAKINI


 


Sekeping gambar yang memaparkan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Dr Siti Mariah Mahmud memegang tangan seorang "lelaki" menjadi viral di Facebook sehingga mencetuskan kontroversi.

Dalam gambar tersebut, Dr Mariah yang mengenakan pakaian berwarna coklat tersenyum dan mengangkat tangannya sambil dipegang oleh seorang lelaki.

Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Pejuang Tegar mempersoalkan tindakan Dr Mariah yang juga anggota parlimen Kota Raja itu dengan berkata:

"Minta penerangan sikit... sejak bila Islam membolehkan berpegang tangan bukan muhrim... Ahmad Awang (Penasihat Umum AMANAH) tolong jawab jap".

Tulisan lelaki berkenaan mendapat perhatian orang ramai antaranya penceramah Wan Ji Wan Hussin dan Anggota Jawatankuasa AMANAH Aiman Athirah yang memberikan penjelasan berhubung gambar berkenaan.

Menulis di Facebooknya Aiman berkata, lelaki yang bersama Dr Mariah itu merupakan suaminya, Dr Hakim Jaafar.

"Lelaki yang memegang dan mengangkat tangan Dr Siti Mariah itu adalah Dr Hakim, suami beliau. Saya baru mendapat maklumat bahawa ada sekelompok sebelah sana yang giat menyebarkan gambar ini dengan menuduh Dr Siti Mariah sedang berpegangan tangan dengan ajnabi. Ulang suara... ini adalah suami beliau," tulisnya.

Wan Ji pula berkata: "Pak cik oi, ini suami Dr Mariah la. Namanya Dr Hakim".

Malaysiakini juga sedang cuba mendapatkan komen Dr Mariah berhubung perkara tersebut.



Tiada ulasan: