KUALA LUMPUR,  Susulan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berhubung saranannya meminta rakyat Malaysia melakukan dua kerja bagi menampung kos sara hidup yang meningkat baru baru ini, ada di kalangan rakyat sudah pun melakukannya sejak tiga tahun lalu.

Berdasarkan tinjauan The Rakyat Post, ada yang berpendapat keadaan ekonomi kini yang semakin mendesak membuatkan hasil pendapatan yang diperolehi dari kerja-kerja sampingan masih tidak mencukupi bagi menampung bebanan sara hidup.

Bagi wanita yang ingin dikenali sebagai Rafika, 27, berkata selain memiliki kerja tetap di sektor swasta, dia juga melakukan kerja sampingan iaitu memberi perkhidmatan mengemas rumah sejak dua tahun lalu.

Namun katanya, perkhidmatan itu kini kurang mendapat sambutan kerana ada di antara pelanggannya sudah mula pandai berjimat ekoran keadaan ekonomi semasa.

“Sekarang kerja sampingan yang saya lakukan kurang membantu kerana pelanggan mulai mengemas rumah sendiri dan menyebabkan pendapatan yang diperolehi terjejas.

“Saya bukan sahaja membersih rumah, malah turut menjual barangan solek serta tudung bagi menampung perbelanjaan harian. Namun dengan ekonomi sekarang, pendapatan yang saya perolehi hanya RM350 sebulan,” katanya.

Pandangan tersebut turut dikongsi Ayshah, 25, yang menceburi bidang perniagaan atas talian sejak dari zaman belajar lagi.

Katanya, pendapatan bulanan yang diperoleh di sektor swasta tidak berbaloi dengan kenaikan harga barangan pada masa ini.

“Sekarang persaingan di dalam bidang ini (online) semakin banyak, bukan senang melakukan perniagaan online ini. Saya berasa mungkin saya perlu menambah kerja sampingan ketiga.

“Kalau dulu, hasil dari kerja sampingan sangat membantu tetapi kini hanya cukup-cukup makan sahaja,” jelasnya.

Bagaimanapun, penjawat awam yang ingin dikenali sebagai Alfon, 30, berkata kerja sampingan yang dilakukannya sebagai jurugambar bebas selama sembilan tahun mampu memberi hasil lumayan berbanding gaji bulanan.

Katanya, gaji pokok yang kecil dalam sektor awam menyukarkannya untuk memohon sebarang pinjaman di institusi kewangan apatah lagi kos sara hidup kini meningkat.

“Sejujurnya kerja sampingan lebih menguntungkan berbanding gaji bulanan, kerana itulah saya tidak menghadkan kerja saya kepada acara perkahwinan sahaja, malah saya juga membuat video-video korporat. Dengan cara ini, pendapatan kerja sampingan saya tidak terjejas,” kataya.

Bagi Isma, 27, berkata seseorang yang melakukan kerja sampingan selain kerja tetap perlu bijak membahagikan masa supaya kualiti kerja dapat dijaga.

“Saya berniaga pisang keju menerusi online. Setiap hujung minggu saya akan menyiapkan segala tempahan. Di pejabat pula, saya akan pulang selepas segala kerja disiapkan, kadang kala saya berada di pejabat sehingga lewat malam. Tetapi apa boleh buat, kalau tidak berniaga susahlah hidup,” ujarnya.