Jumaat, 27 November 2015

Tidak ada parti harus perintah selama-lamanya, kata Mahathir

Shakira Buang dan Kow Gah Chie


 


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata tidak ada parti yang harus memerintah selama-lamanya dalam sebuah negara demokrasi.

Katanya, demokrasi yang baik adalah sistem dua parti di mana pembangkang cukup kuat untuk mengambil alih dan menawarkan alternatif kepada rakyat.

"Cara terbaik adalah untuk negara ini yang mempunyai dua parti politik; ini akan memastikan satu atau yang lain akan mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan," katanya pada ucaptama semasa Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2015.

"Pembangkang yang lemah tidak akan berkesan dalam memastikan kerajaan tidak menyalahgunakan kuasa," kata beliau.

"Bagi tadbir-urus yang baik, pembangkang mesti kuat dan mampu menawarkan alternatif. Tiada pihak harus memerintah selama-lamanya," katanya.

Menurutnya, demokrasi juga tidak akan berjaya sekiranya sesebuah negara itu tidak memahami konsep sistem itu dengan baik.

Dr Mahathir berkata, demokrasi hanya akan berjaya sekiranya sesebuah negara itu memahami batas sistem itu dan tidak menggunakan cara keganasan sekiranya sistem yang ada itu tidak berjaya.

"Mereka mesti memahami demokrasi itu tidak sempurna, dan ia hanya akan berjaya sekiranya mereka mengetahui had penggunaan sistem itu agar ia sempurna digunakan," katanya.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata bahawa rakyat juga boleh mengadakan protes di jalanan sebagai cara untuk membantah sekiranya sesebuah kerajaan itu tidak adil sebagai jalan terakhir.

"Jika semua gagal, protes ganas boleh diambil sebagai jalan keluar," katanya.

Selain itu, ketika diminta mengulas isu berkaitan Umno, Mahathir enggan memberikan respon dan berkata hanya akan menjawab segala persoalan mengenainya pada Ahad di ketika menyampaikan ucapan dasarnya di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2015 itu

Tiada ulasan: