Ahad, 29 November 2015

Teknik bacaan Cordobana kini di Johor



Teknik bacaan Cordobana kini di Johor
Peserta belajar dalam suasana santai dan selesa dengan penggunaan teknik mengajar secara audio dan visual


JOHOR BAHRU – Orang ramai di sekitar Johor kini berpeluang mendalami teknik bacaan al-Quran menerusi Teknik Cordobana yang dibawakan khas oleh Akademi Cordoba Sdn Bhd di Rumah Ngaji ZMP Management & Training Centre, Bandar Uda Utama, di sini.

Pengusaha Rumah Ngaji ZMP Management & Training Centre, Roziah Kamal berkata, teknik mempelajari al-Quran itu mula dijalankan di negeri ini sejak April dan sudah memasuki siri keempat.

Katanya, dalam tempoh tiga hari sahaja peserta program mengaji teknik Cordobana yang dibawa khas dari Indonesia itu dijamin mampu membaca al-Quran dengan lebih mudah dan lancar.

“Sepanjang program ini, peserta ditanamkan dengan perasaan cinta dan adab terhadap al-Quran agar mempunyai minat mendalam untuk mengaji.

“Secara tidak langsung ia memudahkan proses pembelajaran peserta untuk mendalami al-Quran dan membacanya dengan lancar,” katanya.

Roziah berkata, setakat ini program teknik membaca al-Quran berkenaan telah disertai kira-kira 100 peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk golongan profesional dan guru agama.

“Kelas ini bukan sahaja terbuka kepada individu yang tidak mempunyai asas bacaan al-Quran tetapi juga disertai golongan pendidik yang ingin memantapkan ilmu pembelajaran dan pengajaran masing-masing.

“Menerusi teknik ini peserta lebih yakin untuk mencuba bacaan masing-masing kerana tenaga pengajar sentiasa memberi motivasi dan galakan bagi memantapkan bacaan mereka,” katanya.

Selain itu katanya, modul pembelajaran yang disediakan sepanjang program itu juga lebih ringkas dan padat bagi memudahkan peserta mengikuti teknik membaca al-Quran dengan lebih mudah.

“Dalam setiap siri, lima tenaga pengajar termasuk dua pengajar utama dari Indonesia akan membimbing peserta menggunakan formula lebih ringkas disamping penggunaan teknik pembelajaran berlagu.

“Kaedah ini membolehkan peserta mengenal dan menghafal huruf al-Quran secara santai namun meninggalkan kesan efektif,” katanya.

Katanya, setakat ini kesemua peserta yang sudah mengikuti program mengaji teknik Cordobana mampu membaca al-Quran dengan lancar malah sebahagian peserta berjaya mengkhatamkan bacaan al-Quran dalam tempoh singkat.

“Malah saya sendiri berjaya khatam al-Quran dalam tempoh kurang tiga bulan selepas mengikuti kelas ini pada April lalu,” katanya.

Dalam pada itu Roziah berkata, alumni peserta program berkenaan turut dialu-alukan untuk mengikuti kelas latihan susulan yang disediakandi Rumah Ngaji berkenaan secara percuma bagi memantapkan bacaan masing-masing.

“Program ini dijalankan setiap dua atau tiga bulan sekali dan peserta alumni digalakkan untuk terus datang ke program ini sebagai latih tubi memantapkan bacaan dan penguasaan ilmu mereka.

“Malah di Rumah Ngaji ini juga kita turut mengadakan kelas bacaan tajuid dan peserta alumni boleh menyertainya secara percuma,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta Mualaf, Husin Awang, 78 berkata, dia teruja mengikuti program berkenaan kerana mampu membaca al-Quran dengan lancar walaupun baru menjalani kelas selama dua hari.

“Hari ini (semalam) hari kedua saya mengikuti Teknik Cordobana dan Alhamdulillah sudah ada banyak perubahan dan boleh membaca dengan lancar.

“Sebelum ini saya tidak pernah mengikuti mana-mana kelas mengaji dan hanya belajar sendiri tetapi teknik yang diajar pada program ini amat mudah malah saya dapat belajar dalam suasana santai,” katanya.

Dalam pada itu, Guru Bahasa Arab, Muhammad Shafiq Elias berkata, dia berminat menyertai program itu bagi menambah ilmu pembelajaran dan pengajarannya agar dapat dikongsi bersama murid-muridnya.

“Setiap murid mempunyai pendekatan yang pelbagai untuk menguasai ilmu jadi sebagai guru saya juga perlu meningkatkan penguasaan pelbagai teknik pembelajaran dan pengajaran.

“Saya berpendapat program ini dapat memainkan peranan sebagai akademik atau institusi melahirkan tenaga pengajar khususnya bidang pembacaan al-Quran,” katanya.

Katanya, program mengaji teknik Cordobana itu mempunyai pendekatan yang unik bagi membantu peserta menguasai pembacaan al-Quran dengan mudah dan lancar dalam tempoh singkat.

“Formula ‘bacaan sistem menambung’ yang diperkenalkan dalam teknik Cordobana ini banyak membantu peserta untuk membaca dalam tempoh singkat," katanya.


Tiada ulasan: