Isnin, 30 November 2015

Singkir PAS, fitnah jahat blogger - Azizah

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic


KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak ada usaha untuk menyingkirkan PAS daripada kerajaan negeri Selangor, demikian ditegaskan presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah hari ini.

Sebaliknya, beliau menuduh dakwaan sebegitu adalah propaganda yang sengaja dimainkan blogger upahan Umno Barisan Nasional (BN).
 
Azizah yang juga ADUN Kajang memberitahu, pegangan PKR jelas bahawa musuh politik mereka adalah Umno-BN dan bukannya PAS.
 
"Semalam (Timbalan Presiden PKR) Azmin (Ali) sudah mengatakan bahawa kita (pakatan pembangkang) perlu bersatu dalam usaha untuk menjatuhkan BN. Saya bersetuju," katanya ketika ditemui media di Lobi Parlimen, di sini hari ini.
 
Azizah juga menegaskan Azmin yang juga Menteri Besar Selangor tidak terdesak untuk mengikut mana-mana telunjuk parti sekutunya, untuk menafikan hak PAS dalam kerajaan negeri Selangor.
 
"Tidak benar (Azmin tunduk kepada desakan DAP), blogger-blogger ini mengambil upah, jadi kita tidak boleh ambil (dengar) apa yang mereka katakan sebagai fakta," katanya.
 
Azizah berkata demikian mengulas dakwaan bahawa PKR di Selangor kini dalam dilema apabila terpaksa memilih antara PAS atau DAP serta Parti Amanah Negara (Amanah) untuk sama-sama mentadbir negeri itu.
 
DAP sebelum ini memberi kata dua kepada PKR sama ada memilih parti dominasi Cina itu atau PAS, selain mendesak agar Pakatan Harapan (PH) diiktiraf di Selangor.
 
Pakatan Harapan disertai PKR, DAP dan Amanah. Sementara PAS tidak dijemput untuk menyertai gagasan itu.
 
Azmin sebelum ini berkali-kali menegaskan PKR tetap akan menjalinkan hubungan baik dengan PAS.
 
Malah ketika berucap dalam Kongres PKR yang berlangsung 27 hingga 29 November lalu, Azmin menyatakan kekesalannya apabila terdapat rakan-rakan sekutu dalam PH menyinggung perasaan PKR.
 
Tegasnya, PKR bukan parti yang boleh dikawal atau dicorakkan oleh parti lain.
 
"Ada juga rakan-rakan yang menyinggung perasaan kita.
 
"Ini parti kita, ini kongres kita. Kita ada presiden dan majlis pimpinan jadi kita yang menentukan masa depan parti kita bukan orang lain yang cuba mencorakkan masa depan Parti Keadilan Rakyat," katanya di dalam Ucapan Penggulungan Kongres Nasional Tahunan ke-11, semalam.
 
 

Tiada ulasan: