Ahad, 29 November 2015

Pilihan raya Sarawak: Saifuddin dipilih urus pertindihan kerusi Pakatan Harapan

Tan Su Lin, Astro Awani
Pilihan raya Sarawak: Saifuddin dipilih urus pertindihan kerusi Pakatan Harapan
Saifuddin (gambar) dipilih untuk mengurus sebarang pertindihan kerusi dalam kalangan parti pembangkang pada pilihan raya negeri Sarawak kelak. -Gambar fail
 
 
SHAH ALAM: Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah dipertanggungjawabkan untuk mengurus sebarang pertindihan kerusi dalam kalangan parti pembangkang pada pilihan raya negeri Sarawak kelak.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata ia bagi memastikan hanya pertandingan satu lawan satu pada pilihan raya itu yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

Nurul Izzah yang juga Pengarah Pilihanraya PKR berkata, rata-rata barisan kepemimpinan Pakatan Harapan bersetuju bekas pemimpin UMNO yang baharu menyertai PKR itu sebagai individu paling sesuai menyelaraskan isu senarai calon.

"Terdapat persepakatan bahawa orang yang terbaik untuk memulakan usaha ini ialah Datuk Saifuddin Abdullah dan itulah sebabnya dia telah dipilih oleh kebanyakan parti khususnya DAP, PKR dan Parti Amanah Negara.

"Beliau adalah individu terbaik untuk memastikan semua pihak permintaan parti dipatuhi," katanya pada sidang media Kongres Nasional Keadilan Ke-11 di sini, hari ini.


Dalam pada itu, Nurul Izzah berkata sistem Penunjuk Prestasi Utama (KPI) akan diguna pakai dalam pemilihan calon yang akan bertanding nanti.

"Kami telah menerima pakai sistem penilaian digunakan di Sarawak, khususnya bagi memastikan kesediaan dan ciri-ciri boleh menang pada calon bertanding.

"Ia juga akan digunakan secara nasional untuk mengukur kesesuaian dan keberkesanan setiap calon," katanya.
Setakat ini, DAP, PAS dan Amanah telah menyatakan hasrat untuk bertanding di pilihan raya negeri Sarawak.

Tiada ulasan: