Sabtu, 28 November 2015

Pemimpin wanita PKR minta k'jaan henti buli Nurul Izzah

Anne Muhammad

 
Pimpinan Wanita PKR yang diwakili oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, meminta agar kerajaan berhenti daripada membuli MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan perlu memfokuskan kepada masalah yang lebih serius dan menumpukan kepada isu sebenar.

Antara isu-isu tersebut ialah skandal kewangan 1MDB, kelemahan ekonomi negara dan derma politik RM2.6 bilion yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kami merasa amat kecewa kerana kerajaan menumpukan perhatian ke atas satu isu kecil gambar foto, dan tidak pula menangani isu sebenar yang sedang merosakkan negara sekarang.

“Sememangnya isu foto ini mengalih pandangan daripada isu-isu penting yang melanda negara ini,” kata Kok dalam sidang media di Kongres Nasional PKR ke-11 di Shah Alam hari ini.

Nurul Izzah telah memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang didakwa mengaitkan beliau dengan perbuatan khianat kepada negara ekoran pertemuannya dengan Puteri Sulu Jacel Kiram.

Gambar pertemuan Nurul Izzah itu tersebar selepas Jacel memuat naik empat keping gambar bertarikh 9 November dalam akaun Facebook beliau.

Bagaimanapun, naib presiden PKR itu menyatakan kekesalannya berhubung kegusaran yang timbul akibat foto beliau bersama Jacel tersebar.


Tiada ulasan: